Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
88) ANAK TAK SAH TARAF
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: hal ehwal islam
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah statistik terkini anak tak sah taraf di Selangor?
Seperti di lampiran.
LAMPIRAN
STATISTIK BAHAGIAN BKA JPN SELANGOR BAGI TAHUN
2008, 2009, 2010 DAN 2011
JUMLAH REKOD KELAHIRAN DAN KEMATIAN DI SELANGOR
KATEGORI 2008 2009 2010 2011 KESELURUHAN Kelahiran 78,724 80,851 80,198 83641 323,414 Kematian 15,780 16,495 16,550 17,117 65,942 JUMLAH REKOD ANAK TAK SAH TARAF DI SELANGOR
KATEGORI 2008 2009 2010 2011 KESELURUHAN Melayu 2,352 2,407 2,630 2,559 9,948 Cina 770 673 604 558 2,605 India 1,287 1,362 1,329 1,504 5,482 Lain-lain 1,753 1,769 2,047 2,662 8,231 JUMLAH 6,162 6,211 6,610 7,283 JUMLAH KESELURUHAN:
26,266
-
Apakah program yang telah dijalankan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini?
Di bawah Pelan Tindakan menangani gejala sosial Negeri Selangor satu program khas yang dikenali Kempen Anti Zina telah dirangka untuk menangani masalah gejala membuang bayi dan kelahiran anak luar nikah yang menyumbang kepada peningkatan kes anak tidak sah taraf. Kempen Anti Zina merupakan satu usaha yang holistik yang melibatkan pelbagai jabatan/ agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor, PDRM, RELA, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO’s). Kempen ini mempunyai dua fasa, fasa pertama risalah berkaitan bahaya zina diedarkan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang awam. Untuk Fasa kedua adalah penguatkuasaan yang di ketuai oleh Pejabat Agama Islam daerah di seluruh Negeri Selangor. Sehingga Februari 2012 sebanyak 6 siri kempen anti zina telah dilaksanakan di mana ia dilancarkan pada 31 Ogos 2010 sempena sambutan Kemerdekaan yang lalu.
Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor telah memutuskan untuk melaksanakan Seminar Pengurusan Cinta di Sembilan Daerah di Negeri Selangor yang melibatkan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempat. Seminar ini akan memberi pendedahan kepada remaja mengenai kaedah pengurusan cinta yang mengikut syariat Islam serta keperluan cinta dalam kehidupan dan secara langsung akan mencegah mereka daripada terjebak dengan perkara maksiat.
Selain itu, pendedahan pencegahan zina juga diadakan dalam siri ceramah yang berbentuk santai serta persembahan daripada artis tempatan. Kaedah seumpama ini dilaksanakan bertujuan untuk menarik golongan belia dan remaja untuk terlibat dalam program ini. Kejayaan penganjuran Sambutan Tahun Baru 2012 yang mencatatkan pengunjung seramai 80 000 orang di Dataran Kemerdekaan Shah Alam telah membuktikan Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan sangat serius dalam usaha menangani gejala sosial. Inisiatif ini akan diteruskan pada masa hadapan untuk menggalakkan remaja dan belia khusus untuk meraikan sesuatu sambutan dalam bentuk terkawal dan tidak melanggar batas-batas Islam yang secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan kes maksiat dan jenayah.