Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

83) AGIHAN ZAKAT

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: hal ehwal islam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Agihan zakat di negeri Selangor diakui antara yang terbaik di dalam negara kita namun ramai mendakwa permohonan terutamanya dari asnaf Fi Sabilillah masih ramai yang ketinggalan. Apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah tersebut?

    Berdasarkan kepada Fatwa Sistem Pengurusan Agihan Zakat Negeri Selangor, harta zakat wajib diagihkan kepada lapan asnaf seperti mana yang dinyatakan dalam alQuran (at-Taubah: 60). Namun begitu, empat asnaf utama atau disebut asnaf yang muqaddam (terawal) iaitu fakir, miskin, amil dan mualaf mestilah diberikan keutamaan dalam agihan zakat berbanding dengan empat asnaf yang muahar (terkemudian) iaitu riqab, gharimin, ibnu sabil dan fisabilillah.

    Di Selangor, kebanyakan bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah adalah berbentuk sumbangan dan ia diberi berdasarkan permohonan semasa dan kelayakan mengikut kriteria yang telah digariskan di dalam Fatwa Sistem Pengurusan Agihan Zakat Negeri Selangor.

    Banyak usaha telah dilaksanakan oleh LZS dalam membantu golongan fisabilillah terutama melalui Program Pembangunan Pendidikan. Ini termasuklah melalui Bantuan Umum Pelajaran yang diberikan bagi membantu meringankan beban pelajar sekolah dan IPT.  LZS turut memberi bantuan zakat berbentuk dermasiswa kepada pelajar luar negara khususnya Mesir, Jordan dan Morocco.

    Bagi membantu institusi agama di Negeri Selangor, LZS berperanan dalam menyalurkan bantuan zakat kepada masjid, surau dan sekolah agama yang memerlukan bantuan dari segi membina, membaik pulih dan peralatan.

  2. Berapakah jumlah penerima dan jumlah RM diterima?

    Penerima bagi asnaf fisabilillah adalah berbeza dengan asnaf fakir dan miskin. Ini kerana penerima bantuan di bawah asnaf fisabilillah terdiri daripada pelbagai individu dan institusi. Jumlah agihan zakat kepada asnaf fisabilillah adalah sebanyak RM155,879,117 pada tahun 2011.

    Bilangan Penerima Mengikut Beberapa Jenis Bantuan

    Jenis Bantuan Bilangan

    (institusi/orang)

    Elaun Bulanan Pegawai Masjid 3,096
    Pembinaan / Baik Pulih Surau 117
    Pembinaan / Baik Pulih Surau Sekolah 55
    Pembinaan / Baik Pulih Masjid 24
    Dermasiswa Pelajar

    Belajar Di Luar Negara

    536
    Bantuan Umum Pelajaran 13,880

     

Lampiran

Tiada Lampiran.