Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

64) INDUSTRI PELANCONGAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan berapakah jumlah bilangan pelancong domestik dan asing yang datang melawat Negeri Selangor sepanjang tahun 2010 dan 2011 ?

    Jumlah bilangan pelancong domestik dan asing yang datang melawat Negeri Selangor sepanjang tahun 2010 dan 2011 adalah seperti berikut:

      2010 2011
    Pelancong Domestik 3,245,659 3,314,714
    Pelancong Asing 2,588,199 2,725,704
    Jumlah 5,833,858 6,040,418
  2. Sila nyatakan apakah bantuan dan perancangan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memperkasakan industri pelancongan supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Selangor ?

    Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius dan memberikan perhatian terhadap perancangan dan pembangunan sektor pelancongan di negeri Selangor. Melalui  Tourism Selangor yang menjadi agensi promosi dan pelaksana acara-acara pelancongan kini sedang berusaha melaksanakan strategi baru dalam usaha dan perancangan bagi menarik lebih ramai lagi pelancong domestik dan antarabangsa untuk melawat Negeri Selangor.  Antara strategi-strategi yang sedang disusun dan telah dilaksanakan ialah:-

    1. Memperhebatkan dan merancakkan kempen Selangor Shines terutamanya yang melibatkan pergerakan Skuad Selangor Shines.
    2. Menyertai siri promosi pelancongan di luar negara dengan memfokuskan kepada negara-negara di Asia Tenggara, Asia Selatan, Asia Timur dan Timur Tengah bagi pelaksanaan kempen promosi tahun 2012. Ini adalah sejajar dengan trend kedatangan pelancong terkini yang memperlihatkan keempat-empat wilayah berkenaan yang mencatatkan jumlah kedatangan pelancong yang tinggi dan semakin meningkat.
    3. Sentiasa berusaha mencari kewujudan produk dan destinasi baru yang terdapat di negeri Selangor. Lawatan produk secara berkala dilaksanakan bagi mengenal pasti kesesuaian produk dalam mengklasifikasikan produk sama ada bersesuaian dan berpotensi untuk dipromosikan ke peringkat domestik dan antarabangsa. Sehingga bulan Mac, 2012 sahaja, sejumlah 4 produk baru telah dilawati dan dilihat berpotensi tinggi untuk dikomersialkan. Ini bagi memberikan lebih pilihan kepada pelancong di samping produk-produk pelancongan sedia ada.
    4. Membangunkan risalah pelancongan bagi setiap daerah yang terdapat di negeri Selangor. Setiap risalah tersebut adalah lebih fokus dalam mengetengahkan produk dan destinasi pelancongan bagi setiap daerahdaerah tersebut. Dengan cara ini, semua daerah-daerah di negeri Selangor berpeluang menjadi tumpuan dan fokus kemasukan pelancong asing dan tempatan.  Ini juga secara tidak langsung memberi rangsangan dan kesan kepada pembangunan ekonomi setempat terutama masyarakat luar bandar.
    5. Mengemas kini laman sesawang yang sedia ada dengan pelbagai informasi terbaru yang diyakini mampu menarik perhatian para pelawat laman sesawang dan seterusnya melawat produk dan destinasi pelancongan di Negeri Selangor.   Menyedari maklumat lebih cepat tersebar melalui saluran maya dan internet, pengemaskinian laman web sentiasa menjadi keutamaan.  Ini bagi membekalkan maklumat dan promosi secara lebih meluas dan pantas.
    6. Menggiatkan aktiviti dan kembara Skuad Selangor Shines yang juga bertindak sebagai pelaksana program. Pada tahun 2011 melalui kerjasama bersama AEON  di 5 buah pusat membeli-belah AEON yang terpilih bagi mempromosikan negeri Selangor sebagai destinasi pilihan pelancongan domestik mahupun antarabangsa iaitu;
      • AEON Jusco Seberang Perai City, Pulau Pinang
      • AEON Jusco Bukit Indah, Johor Bahru
      • AEON jusco Mahkota Cheras, Selangor
      • AEON Jusco Bukit Tinggi Klang, Selangor – AEON Jusco Ayer Keroh, Melaka
    • Di samping itu juga, Skuad Selangor Shines juga mempunyai strategi dalam mempromosikan negeri Selangor kepada pelajar-pelajar sekolah menengah sebagai sasaran jangka panjang dengan mengadakan lawatan ke 90 buah sekolah yang mempunyai Kelab Kembara atau Kelab Pelancongan di sekolah sepanjang tahun 2011 yang telah pun bermula pada 28 Februari 2011. Strategi ini merupakan strategi akar umbi bagi mendidik dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang senario, peluang dan maklumat berkaitan perkembangan dan pembangunan pelancongan di negeri Selangor.  Ia juga sebagai langkah menyemai minat pelajar terhadap industri pelancongan yang berpotensi menjadi kerjaya masa depan.
    • Pada tahun 2011 juga, melalui Tourism Selangor, satu program khas bersama pihak KTMB iaitu bagi pengguna “ETS Train” yang melibatkan laluan Seremban-KL Sentral- Ipoh telah dilaksanakan. Pihak KTMB telah membenarkan Tourism Selangor meletakkan bahan promosi pelancongan Negeri Selangor iaitu buku panduan “Selangor Breakaway” ke dalam setiap poket kerusi penumpang “ETS Train”.
  3. Sila nyatakan apakah bentuk bantuan dan perancangan khusus yang bakal dilakukan oleh Kerajaan dalam mempromosikan DUN Sekinchan sebagai destinasi agro-pelancongan yang unik ?

    Sekinchan dilihat mempunyai pelbagai potensi yang boleh diketengahkan sebagai salah satu produk / destinasi tarikan pelancong. Kerajaan Negeri sentiasa membantu dan memastikan pembangunan yang berterusan walaupun tidak mempunyai satu pelan pembangunan jangka pendek dan panjang yang dimuktamadkan sebagai pelan pembangunan pelancongan negeri Selangor.

    Untuk makluman, beberapa perancangan telah dibuat untuk dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.  Antaranya ialah, beberapa daerah akan dipilih dan diberikan fokus utama iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat melalui pengenalan program Daerah Fokus.  Bagi daerah Sabak Bernam, Sekinchan sudah pastinya akan menjadi antara destinasi / produk utama yang akan turut sama diberikan tumpuan.  Sebelum ini beberapa program telah dilaksanakan.  Ini termasuklah pemasangan papan-papan tanda informasi dan program pencahayaan di Pekan Sekinchan.  Ia sebagai langkah memberikan imej yang positif dan menarik di kalangan pengunjung dan pelancong.

    Selain itu, perbincangan bersama pihak Majlis Daerah Sabak Bernam ( MDSB ) juga telah dibuat bagi merancang dan membentuk semula pakej-pakej menarik di daerah Sabak Bernam termasuk di Sekinchan.  Sekinchan mempunyai beberapa daya tarikan utama seperti Homestay Papitusulem, Bagan Sekinchan, jelapang padi, ladang buah-buahan, industri burung walit, restoran makanan eksotik dan beberapa tarikan lain. Malah, acara pelancongan tahunan seperti Pesta Menuai dan Larian Bendang juga boleh digunakan sebagai kesempatan terbaik mempromosi dan menonjolkan Sekinchan sebagai antara destinasi dan produk yang menarik untuk dilawati.

    Selain itu, bagi tahun 2012 rangka pembangunan pelancongan daerah Sabak Bernam akan terus ditingkatkan.  Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan telah bersetuju untuk melaksanakan Bulan Melawat Sabak Bernam yang dijangka akan diadakan mulai bulan Jun, 2012 yang akan datang.  Dalam hal ini, Sekinchan dilihat sebagai antara lokasi terpenting dan mula menjadi tumpuan pelancong kebelakangan ini.  Program Bulan Melawat Sabak Bernam akan menjadi saluran terpenting dalam mempromosi dan membangunkan daerah Sabak Bernam sebagai antara lokasi pelancongan utama di negeri Selangor.  Pelaksanaan program ini adalah merupakan kesinambungan pelaksanaan program Daerah Fokus seperti yang dinyatakan sebelum ini.

    Dengan jaringan jalan pengangkutan yang semakin baik, Kerajaan Negeri percaya bahawa Sekinchan akan mampu membangun sebagai antara lokasi pelancongan terpenting di negeri ini.  Justeru itu, menyedari potensi ini, melalui Tourism Selangor pelbagai pendekatan dan perancangan telah dan akan dilaksanakan.  Antaranya ialah melalui penerbitan risalah bagi daerah Sabak Bernam yang antara lain menyenaraikan beberapa produk pelancongan dari kawasan Sekinchan.  Risalah-risalah ini adalah sangat berguna sebagai medium promosi yang paling berkesan selain promosi melalui laman web, billboard, twitter, blog dan facebook.

    Promosi-promosi dalam dan luar negara masih menjadi antara program dan aktiviti yang dilaksanakan secara berterusan.  Tahun 2012, fokus kepada wilayah Asia akan menjadi keutamaan.  Dengan permintaan yang tinggi terhadap produk-produk seperti Homestay dan produk-produk agro tourism terutama dari negara-negara seperti Jepun, China, Singapura dan Taiwan, Sekinchan dilihat berupaya menawarkan pilihan-pilihan yang menarik kepada pelancong dari sektor yang berkenaan.  Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui pihak Tourism Selangor  dalam setiap rangka promosi, jualan dan pertemuan akan mempromosikan produk-produk berkaitan kepada agen dan individu berpotensi.

Lampiran

Tiada Lampiran.