Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
216) STATUS KEWANGAN PBT
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Phillip Tan Choon Swee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sehingga Disember 2011 manakah PBT-PBT yang masih mengalami masalah defisit?
Sehingga 31 Disember 2011 Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Sepang mengalami defisit bagi Penyata Kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2011.
-
Sila nyatakan jumlah defisit mengikut PBT-PBT.
Jumlah defisit bagi Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Sepang adalah sebanyak RM 3.69 juta dan RM 0.82 juta.
-
Apakah sebab-sebab utama PBT-PBT ini masih mengalami masalah defisit dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah-masalah ini?
Kedudukan kewangan defisit berlaku disebabkan oleh perbelanjaan yang melebihi hasil atau belanjawan yang disediakan adalah belanjawan defisit. Perbelanjaan yang melebihi hasil normal berlaku di atas perkara-perkara yang tidak dijangka seperti bayaran guaman ,projek pembangunan dan bencana alam di mana PBT perlu menampung perbelanjaan tersebut dengan menggunakan simpanan. Walau bagaimanapun perbelanjaan defisit terurus (manageable deficit) adalah dibenarkan bergantung pada kedudukan simpanan PBT sekiranya berkemampuan namun sekiranya kedudukan defisit berterusan ianya akan memberi kesan yang kurang baik.
Pihak Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan bagi menangani permasalahan ini dengan menggalakkan PBT meningkatkan hasil dan mengurangkan perbelanjaan dengan mengeluarkan pekeliling perbelanjaan berhemah. Selain itu beberapa inisiatif lain juga telah diambil di antaranya:
- Mesyuarat Jawatankuasa Tunai Negeri oleh Perbendaharaan Negeri Selangor bagi membantu PBT mendapatkan kadar pelaburan yang maksima untuk meningkatkan hasil.
- Pemantauan hasil kutipan cukai secara bulanan bagi memantau kutipan cukai di PBT.
Selain itu PBT juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kutipan cukai di antaranya:
- Menjalankan “personal approach” bagi syarikat, pemaju dan individu yang mempunyai tunggakan yang tinggi.
- Mewujudkan Jawatankuasa Hasil/ Task Force yang berfungsi untuk memantau prestasi kutipan dan isu-isu tunggakan cukai yang tinggi.
- Memberi kemudahan bayaran secara ansuran bagi menggalakkan bayaran cukai tunggakan.
- Mempelbagaikan saluran bayaran melalui perkhidmatan bank secara online .
- Menyediakan kaunter bergerak di lokasi-lokasi strategik bagi mempermudah bayaran.
- Mengadakan operasi sita secara berkala seperti diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.