Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
182) RUMAH PANGSA TERBENGKALAI DI SUNGAI TANGKAS, KAJANG
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pada 3 Februari 2012 (Jumaat) YB Iskandar, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan melawat rumah pangsa Kelisa Ria yang terbengkalai di Sungai Tangkas. Apakah masalah yang dihadapi pembeli-pembeli rumah pangsa Kelisa Ria Sungai Tangkas tersebut?
Untuk makluman Yang Berhormat, Projek Kelisa Ria, Sungai Tangkas merupakan salah satu projek yang termasuk dalam senarai projek terbengkalai di Negeri Selangor. Projek ini telah dimajukan oleh Tetuan T.J Plaza Sdn. Bhd dan didaftarkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta berada di bawah pemantauan kementerian tersebut. Projek yang telah siap 80% dan melibatkan 500 unit rumah ini terletak di Jalan Reko, Kampung Keramat Tangkas, Kajang, Hulu Langat. Masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju dikenalpasti sebagai punca utama projek ini terbengkalai disamping masalah pengurusan projek yang akhirnya membebankan para pembeli kerana terpaksa membayar ansuran bulanan kepada pihak bank sedangkan rumah tidak dapat diduduki. Kegagalan segelintir pembeli menjelaskan bayaran bulanan tersebut kerana perlu menanggung kos kediaman sedia ada seperti sewaan dan sebagainya menyebabkan mereka disenaraihitamkan oleh pihak bank. Situasi ini mendatangkan masalah kepada para pembeli terlibat untuk meneruskan komitmen lain kerana sukar untuk membuat sebarang pinjaman dengan institusi kewangan bagi tujuan lain yang secara tidak langsung turut menjejaskan kehidupan mereka.
-
Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap TJ Plaza sebagai pemaju perumahan berkenaan?
Memandangkan projek ini berdaftar dengan KPKT maka ia dipantau secara terus oleh kementerian berkenaan. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan mengambil beberapa langkah yang perlu sejajar dengan tindakan yang diambil oleh pihak kementerian terhadap projek ini. Sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung, KPKT telah mengadakan beberapa siri mesyuarat iaitu pada 20 September 2011, 14 November 2011 dan 13 Disember 2011 bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek tersebut. Berdasarkan mesyuarat pada 13 Disember 2011, KPKT memaklumkan bahawa pemaju T.J Plaza Sdn. Bhd. tidak dapat meneruskan pemulihan projek ini melalui surat bertarikh 19 Oktober 2011. Sehubungan dengan itu, tindakan penggulungan ke atas syarikat ini akan dilakukan berikutan kegagalan syarikat untuk memulihkan projek. Bagi tujuan tersebut, pada ketika ini pihak KPKT sedang berusaha mengumpulkan butiran lengkap setiap pembeli bertujuan mengenalpasti anggaran kos pemulihan projek ini. Surat kebenaran daripada pembeli bagi tujuan membuat semakan akaun akan dikeluarkan setelah maklumat lengkap para pembeli terlibat diperolehi. Anggaran kos pemulihan projek akan disediakan oleh kontraktor penyelamat yang dilantik iaitu Syarikat Geostream Sdn. Bhd. untuk dikemukakan ini kepada KPKT. Di pihak Kerajaan Negeri pula boleh mengambil tindakan secara tidak langsung dengan menyenaraihitamkan namanama lembaga pengarah yang diperolehi dari SSM untuk diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan turut dipaparkan dalam laman sesawang Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Pemaju yang disenaraihitamkan ini tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pembangunan di Negeri Selangor termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di bawah syarikat pemaju lain.
-
Bagaimanakah penyelesaian terbaik yang akan diambil?
Selain usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam membendung masalah projek terbengkalai, Kerajaan Negeri juga amat komited dalam usaha memulihkan projek-projek terbengkalai ini. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah proaktif ke arah penyelesaian projek terbengkalai di Negeri Selangor melalui pendekatan seperti berikut:
- Kos Tambahan (Topup)
Bagi projek yang boleh dipulihkan di mana melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk menilai semula kos pemulihan projek tersebut bagi mendapatkan butiran terperinci kos tambahan yang perlu ditanggung secara bersama oleh pembeli-pembeli. Walau bagaimanapun, ia perlu mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 85% daripada jumlah pembeli bagi tujuan pemulihan.
- Lantikan Pemaju Penyelamat
Kerajaan Negeri melalui LPHS juga akan mengadakan perbincangan dengan pemaju terbabit bersama semua jabatan teknikal termasuk pihak bank sekiranya projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Bagi pemaju yang menghadapi masalah kewangan, LPHS akan mengatur pertemuan dengan pembiaya-pembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pemaju-pemaju menstrukturkan semula pembiayaan titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan. Sekiranya masih gagal dan terdapat pemaju penyelamat/kontraktor berwibawa yang berminat memulihkan projek berkenaan, LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut kepada KPKT untuk diputuskan. Bagi projek-projek yang telah diletakkan di bawah ‘liquidator’/Pegawai Penerima, perbincangan akan dijalankan bersama ‘liquidator’/Pegawai Penerima terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
- Perampasan Tanah dan Pengambilan Tanah
Kerajaan Negeri juga sebagai langkah terakhir akan mengambil tindakan perampasan tanah sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 KTN dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 KTN bagi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin. Selain itu, pengambilan tanah juga sebagai usaha membolehkan projek terbengkalai dipulihkan semula dan seterusnya dimajukan secara tender sebagai contoh projek Bukit Botak dan Alam Perdana.
- Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT)
Jawatankuasa ini terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan
Setinggan, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi / Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini akan membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Setakat ini terdapat 11 projek telah dikenal pasti berpotensi dipulihkan.