Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

181) PROGRAM AIR PERCUMA DI BAWAH KDEB

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rangka tindakan Kerajaan Negeri terhadap KDEB yang tidak membayar empat pinjaman prinsipal jangka pendek berjumlah RM200 juta?

    Pinjaman Kerajaan Negeri Selangor dengan KDEB berjumlah RM200 juta merupakan pinjaman jangka pendek di mana ianya akan diperbaharui pada setiap tamat tempoh pinjaman dengan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga penstrukturan semula air dapat dimuktamadkan.

  2. Apakah Kerajaan Negeri punyai rancangan untuk mengurangkan kadar faedah ke atas pinjaman KDEB dari 4% setahun kepada % yang lebih rendah?

    Kadar faedah sebanyak 4% merupakan kadar faedah yang rendah sekiranya dibandingkan dengan kadar faedah yang dikenakan oleh bank/institusi kewangan di antara 6-8%. Ia juga merupakan kadar faedah yang sama yang digunakan bagi pinjaman-pinjaman Kerajaan Negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan anakanak syarikat.

    Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mengurangkan kadar faedah tersebut memandangkan kadar faedah tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan telah dimuktamadkan dalam perjanjian pinjaman.

  3. Apakah rancangan Kerajaan Negeri terhadap pinjaman KDEB berjumlah RM200 juta berserta faedah apabila Syarikat Tujuan Khas (Special Purpose Vehicle Company) diwujudkan kelak?

    Memandangkan Kerajaan Negeri masih lagi dalam proses rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung penstrukturan semula industri air, terdapat pelbagai perkara yang perlu diperhalusi dan diputuskan oleh kedua-dua pihak.

    Sehubungan itu,  rancangan Kerajaan Negeri terhadap pinjaman KDEB berjumlah RM200 juta akan diputuskan setlah proses rundingan ini dapat dimuktamadkan terlebih dahulu.

Lampiran

Tiada Lampiran.