Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

148) PELBAGAI PROJEK DI BAWAH KDEB

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap pengurusan Projek Selangor Halal Hub yang tidak memuaskan?

    Lembaga Pengarah Central Spectrum telah membekukan untuk sementara

    waktu semua jualan tanah perindustrian di Pulau Indah berkuat kuasa mulai Mei 2011, kecuali lot tanah kecil, kepada pengusaha yang sah dan berminat menjalankan perusahaan perniagaan di HHS dengan harga tidak kurang dari RM1 juta seekar, tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah.

    Pada November 2011, Lembaga Pengarah Central Spectrum juga telah meluluskan model perniagaan yang baru, iaitu jualan secara pajakan berkontrak dan bukannya jualan secara terus, di mana tanah hanya dibenarkan untuk dipindah milik selepas pembangunan dijalankan mengikut tempoh masa yang ditetapkan di dalam Perjanjian Pajakan.

    Pihak pengurusan sedang berusaha untuk melaksanakan aktiviti berikut:

    • Makmal Penyelidikan Halal yang dijalankan secara komersial di TPPI atau HHS;
    • Kemudahan Pembungkusan Halal yang dijalankan secara komersial untuk Usahawan Kecil & Sederhana di TPPI atau HHS;
    • Kemudahan Simpanan/Stor Halal yang dijalankan secara komersial untuk Usahawan Kecil & Sederhana di TPPI atau HHS;
    • Perkhidmatan Pemasaran & Promosi Halal yang dijalankan secara komersial di TPPI atau HHS.
  2. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap harga jualan hartanah di Taman Malawati Jaya Kuala Selangor oleh Kumpulan Hartanah Selangor Berhad yang tidak mengikut nilai pasaran semasa?

    Berpandukan objektif untuk mengelakkan kerugian akibat permintaan yang rendah disebabkan keadaan rumah yang tidak memuaskan, Lembaga Pengarah dan Pengurusan KHSB pada masa itu telah mengambil keputusan menjual baki unit di projek tersebut dengan harga lebih rendah daripada harga jualan asal.

  3. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap projek usahasama Cyber Valley Commercial Centre di Mukim Dengkil yang merugikan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad?

    Lembaga Pengarah KHSB telah merumuskan polisi dan tatacara yang mewajibkan penilaian bebas ke atas hartanah yang di dalam perancangan untuk jualan. Selanjutnya, proses tender diamalkan untuk sesuatu jualan hartanah.

    Bagi projek usaha sama baru, Lembaga Pengarah dan Pengurusan KHSB juga telah mewajibkan kajian kebolehlaksanaan komprehensif untuk dijalankan sebelum terlibat dengan projek usaha sama. Selanjutnya, setelah dimeterai, proses kawalan serta pemantauan dilaksanakan bagi memastikan kemajuan projek usaha sama dapat dicapai.

    Langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan termasuklah penilaian teliti rakan usaha sama yang berpotensi, seperti sejarah kredit, rekod prestasi, kestabilan kewangan dan lain-lain

    Mulai sekarang, hartanah milik KHSB yang terlibat di dalam sesuatu projek usaha sama tidak boleh di cagarkan oleh rakan usaha sama tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.