Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
137) KEMUDAHAN LIF
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Terdapat aduan di Pelabuhan Klang lif telah rosak berbulan-bulan sehingga menyusahkan penghuni terbabit. Apakah langkah-langkah yang diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang kembali?
Khusus bagi kawasan Pelabuhan Klang dan amnya bagi semua kawasan di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri sedang membuat bancian untuk mendapatkan maklumat mengenai tahap keselamatan penggunaan lif di semua pangsapuri-pangsapuri kediaman negeri Selangor. Tujuan bancian dibuat adalah seperti berikut:
- Mendapatkan maklumat mengenai status Sijil Perakuan Kelayakan Lif yang perlu diperbaharui setiap 15 bulan;
- Memastikan penyenggaraan lif hanya dibuat oleh firma kompeten yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP);
- Memastikan jadual penyenggaraan lif disediakan dan dipatuhi oleh firma kompeten terlibat; dan
- Mendapatkan maklumat mengenai keadaan lif sedia ada supaya lif-lif yang didapati rosak serta tidak berfungsi akan disalurkan bantuan baikpulih melalui Skim CERIA (Caring Government For Residents’ Improvement Aid).
-
Apakah inisiatif dari Kerajaan Negeri untuk membantu penghuni terbabit dalam menyelesaikan permasalahan ini?
Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] telah memperuntukkan hakmilik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hakmilik semua pembeli di bawah satu entiti yang dikenali sebagai Perbadanan Pengurusan (Management Corporation). Oleh itu, pembeli adalah bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri mereka sendiri termasuk lif. Walau bagaimanapun, memandangkan lif adalah komponen dan kemudahan asas yang penting dan perbelanjaan penyenggaraan lif adalah sangat tinggi untuk dibiayai oleh pembeli-pembeli yang mempunyai pendapatan yang rendah, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah pro-aktif dengan mewujudkan Skim Bantuan Baikpulih Bangunan atau Caring Government For Residents’ Improvement Aid (CERIA) untuk membaikpulih kemudahan komuniti termasuk lif.
Untuk meringankan beban kewangan penduduk terlibat, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membiayai kos baikpulih secara perkongsian iaitu Kerajaan Negeri (80%) dan pembeli (20%). Justifikasi kaedah perkongsian kos ini adalah seperti berikut:
- Pembeli berasa kepunyaan (sense of belonging) ke atas kemudahan yang dibaikpulih; dan
- Pembeli tahu jumlah kos baikpulih yang telah dibiayai oleh Kerajaan Negeri di mana kos tersebut sepatutnya ditanggung pembeli.
Kesinambungan daripada Skim CERIA, Kerajaan Negeri mengadakan program Kempen “Pangsapuri Kita Bersih, Ceria Dan Harmoni” bertemakan “Anti Vandalisme” bertujuan memupuk kesedaran kepada penduduk-penduduk pangsapuri untuk saling bekerjasama menjaga kemudahan komuniti khususnya lif dengan berhemah. Kerajaan Negeri juga sedang merangka satu modul penilaian (Star Rating) supaya dapat menilai impak keberkesanan Skim CERIA kepada pangsapuri yang telah menerima bantuan melalui beberapa indikator petunjuk prestasi utama (Key Performance Indicators) yang ditetapkan.
-
Selain dari Badan Pengurusan Bersama, pihak manakah yang bertanggungjawab untuk memastikan lif dapat di selenggara dan dibaik pulih dengan baik?
Selain daripada Badan Pengurusan Bersama, Perbadanan Pengurusan juga merupakan pihak yang bertanggungjawab memastikan lif disenggara dan di baikpulih. Manakala, agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap perkara ini adalah Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan di bawah peruntukan Akta Kilang dan Jentera 1967 [Akta 139].