Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

55) VIRUS POKOK PISANG

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Haji Raja Ideris Bin Raja Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Serangan virus penyakit 'moko' telah menyebabkan kematian pokok tanaman pisang secara besar-besaran dan merugikan petani khasnya di kawasan DUN Sungai Air Tawar. Nyatakan keluasan tanaman yang terjejas dan jumlah petani tanaman pisang yang terbabit di Selangor khasnya kawasan DUN Sg. Air Tawar?

    Keluasan tanaman pisang di Negeri Selangor yang telah diserang Penyakit Moko dianggarkan seluas 1,251 ha. Bagi DUN Sungai Air Tawar, kawasan yang diserang mengikut bancian Jabatan Pertanian dianggarkan seluas 791.30 hektar yang melibatkan seramai 467 orang petani.

  2. Apakah tindakan kerajaan negeri bagi mengatasi atau meringankan beban para petani?

    Pada dasarnya Kerajaan Negeri menasihatkan kepada petani untuk memusnahkan tanaman pisang dan tidak menanam pokok pisang bagi tempoh antara 1 hingga 2 tahun bagi memastikan inokolum bakteria tersebut dapat dihapuskan. Dalam masa yang sama, Jabatan Pertanian sedang dalam proses menyediakan SOP (Standard Operating Procedure) untuk memusnahkan pokok pisang dan mengumpulkan data kawasan tanaman yang diserang penyakit moko pisang serta mengenal pasti apakah keperluan-keperluan yang boleh membantu para petani.

  3. Apakah kerajaan negeri bercadang memperkenalkan tanaman alternatif untuk membantu petani?

    Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa tanaman yang sesuai dengan keadaan tanah di kawasan berkenaan dan menggalakkan tanaman seperti koko di bawah kelapa dan tanaman integrasi seperti nanas, jagung, serai dan labu manis. Walaubagaimanapun, dari masa ke semasa Jabatan Pertanian akan mengenal pasti tanaman-tanaman lain yang sesuai sebagai tanaman alternatif.

Lampiran

Tiada Lampiran.