Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

54) MASALAH SAMPAH

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pada bulan Januari Ð Februari 2012 kecoh hampir seluruh Selangor mengenai sampah tidak dipungut. Apakah punca kekecohan terbesar berlaku?

    Kerajaan Negeri mengambil maklum berhubung masalah mengenai sampah yang tidak dipungut pada bulan Januari – Februari 2012 berkenaan. Masalah utama berpunca daripada berlakunya ketidakfahaman pihak kontraktor di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap tempoh interim yang dilanjutkan oleh Kerajaan Negeri sehingga bulan Februari bagi kerja-kerja kutipan sampah. Punca-punca lain adalah seperti berikut:

    • Kontraktor Boikot

    Tindakan beberapa kumpulan kontraktor kutipan sampah memboikot kerja mengakibatkan kemarahan ramai penduduk. Kawasan yang terjejas adalah Shah Alam dan Kajang.

    • Back-up” Lambat Bertindak

    Pasukan “back-up” kutipan sampah di setiap PBT tidak bertindak dengan segera untuk mengatasi aduan setempat yang bertambah.

    • Pembayaran Lewat

    Banyak aduan telah diterima daripada kontraktor berhubung kelewatan PBT membayar tuntutan kerja-kerja kutipan sampah.

  2. Adakah unsur-unsur sabotaj dilakukan oleh pihak tertentu?

    Kerajaan Negeri telah dimaklumkan oleh PBT bahawa terdapat unsur-unsur sabotaj. Wujud pihak yang tidak bertanggungjawab merancang untuk menggagalkan kerja-kerja kutipan sampah di Selangor dengan menghalang lori serta mengancam pekerja. Selain daripada itu, tindakan melonggokkan sampah sejurus selepas kutipan rutin dilakukan oleh pihak kontraktor untuk tatapan media.

  3. Sejauh manakah masalah ini dapat diatasi?

    Kerajaan Negeri melalui semua PBT akan sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan terhadap kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam. Talian Bebas Tol Aduan Sampah (1-800-88-2824) yang diselaraskan oleh Bahagian Korporat SUK Selangor membuktikan komitmen penuh Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan segala aduan dengan kadar segera. Tindakan daripada beberapa pihak NGO seperti Yayasan Amal juga harus dipuji kerana terus membantu PBT dalam memantau kawasan setempat daripada sebarang aktiviti berunsur sabotaj. Selain daripada itu, pengambilan penuh PBT bagi kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam sepenuhnya pada bulan Mac 2012 diharap dapat memberi nafas baru dalam menambah baik perkhidmatan tersebut di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.