Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
52) PROJEK PERINTIS TANAMAN PADI
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan bagaimanakah perkembangan terkini projek tersebut ?
Kerajaan Negeri telah melaksanakan projek perintis meningkatkan hasil padi melalui Program Meningkatkan Hasil Padi Negeri Selangor di mana melalui program ini Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3,013,302.00 pada tahun 2009, RM4,930,000.00 pada tahun 2010, RM3,050,000.00 pada tahun 2011 dan RM3,240,0000.00 pada tahun 2012 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor (2009-2013). Matlamat projek perintis ini adalah :
- Projek perintis akan menjadi kawasan rujukan bagi para pegawai dan petani dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran padi dari 5.1 tan/ha/musim kepada 7.5 tan/ha/musim menjelang tahun 2013.
- Mempertingkatkan purata pendapatan pesawah kepada melebihi RM1,500.00 sebulan.
Melalui program meningkatkan hasil padi bagi musim 2/2009, daripada 2,408 orang pesawah yang terlibat, didapati peratusan bilangan pesawah yang berpendapatan antara RM1,000.00 – RM1,500.00 adalah 55% (1,324 pesawah).
Manakala bagi musim 1/2010, tambahan seramai 857 orang pesawah telah meningkatkan pendapatan mereka di mana bilangan pesawah yang mendapat pendapatan antara RM1,000.00 – RM1,500.00 adalah seramai 752 pesawah dan yang mendapat pendapatan melebihi RM1,500.00 adalah seramai 105 orang pesawah.
Bagi musim 1/2011, tambahan seramai 857 orang pesawah telah meningkatkan pendapatan mereka dimana bilangan pesawah yang mendapat pendapatan antara RM1,000.00 – RM1,500.00 adalah seramai 533 pesawah dan yang mendapat pendapatan melebihi RM1,500.00 adalah seramai 146 orang pesawah.
-
Sila nyatakan sehingga kini berapakah jumlah peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri dan bagaimanakah komitmen serta disiplin yang ditunjukkan oleh para peserta ?
Sehingga kini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10,993,302.00 bagi Program Meningkatkan Hasil Padi dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor (2009-2013) ini.
Komitmen serta disiplin para petani adalah tinggi serta sentiasa mengikuti peredaran serta trend teknologi penanaman padi. Secara purata mereka telah mengikuti buku panduan Rice Check sebanyak 94.88%.
-
Sila nyatakan apakah pelan perancangan Kerajaan Negeri secara jangka pendek dan jangka panjang bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan para petani ?
Kerajaan Negeri telah merancang beberapa strategi bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi dan pendapatan petani melalui perancangan jangka pendek dan jangka panjang iaitu :
Perancangan Jangka Pendek:
- Mewujudkan semula kerja-kerja menyisir dan badai (merata) di peringkat akhir penyediaan tanah sawah.
- Menambahkan bahan organik di setiap lot sawah padi pada anggaran 2-3 tan/ hektar.
- Mengadakan usaha bersepadu di dalam kerja-kerja pembersihan kawasan semak di tepi-tepi parit dan batas bagi tujuan menghapuskan sarang-sarang tikus.
Perancangan Jangka Panjang.
- Usaha–usaha untuk menghidupkan semula tanah dengan kaedah Pertanian Ekologi (Natural Farming) sedang dipertingkatkan di keseluruhan kawasan jelapang padi Negeri Selangor.