Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
49) PERBELANJAAN AM/LUAR JANGKA
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri terhadap Kumpulan Wang Amanah Belanja Mengejut berbaki RM8.10 juta yang tidak pernah digunakan sejak tahun 2003?
Kerajaan Negeri Selangor mengambil maklum pandangan audit berdasarkan Kajian Khas : Pengurusan Perbelanjaan Am/Luar Jangka Tahun 2010 di mana peruntukan Kumpulan Wang Amanah Belanja Mengejut akan digunakan terlebih dahulu bagi perbelanjaan kecemasan berdasarkan Seksyen 11 (C) Akta Prosedur Kewangan 1957 iaitu :-
“ Menteri boleh, jika ia berpuas hati bahawa ada timbul suatu keperluan segera dan tidak disangka-sangka perbelanjaan bagi maksud-maksud persekutuan baginya tidak ada peruntukan lain dan untuknya kumpulan wang tidak boleh diperuntukkan di bawah Seksyen 15 (4), membuat pendahuluan dari Kumpulan Wang Disatukan untuk menampung keperluan itu.”
Setelah Penggunaan peruntukan tersebut dilaksanakan, ia perlu dibentangkan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor sebagai Enakmen Perbekalan Tambahan untuk dimasukkan semula ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Belanja Mengejut.
-
Apakah status tiga projek di bawah peruntukan P29 yang prestasi perbelanjaannya adalah tidak memuaskan iaitu antara 20.7% hingga 40.2%?
Pada November 2009, kelulusan bagi projek membaik pulih cerun Runtuh di Desa Melor, Serendah telah diberikan kepada JKR. Walau bagaimanapun, tiga
(3) projek yang menggunakan peruntukan yang sama iaitu:-
- Menaik taraf jalan Monfort (B9) dari persimpangan politeknik ke jalan masuk TUDM Shah Alam.
- Kerja-kerja membaiki cerun tanah m di kawasan Jalan Melor 10, Taman
Desa Melor, Serendah,Hulu Selangor; dan iii) Kerja-kerja menaik taraf dan memulihara Masjid Diraja Sultan Sulaiman, Klang.
Peruntukan yang sama digunakan memandangkan projek pembangunan yang lain yang tidak dapat ditampung oleh JKR pada tahun tersebut. Projek-projek tersebut telah siap dilaksanakan pada Julai 2010 menggunakan peruntukan tahun semasa jabatan.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap laporan bahawa peruntukan di bawah kod 60002 telah disalahgunakan bagi tujuan memperindah kawasan dan membina Medan Ikan Bakar serta Dataran Esplanade?
Peruntukan memperindah kawasan dan membina Medan Ikan Bakar serta
Dataran Esplanade menggunakan Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri (MARRIS) adalah tidak bertentangan dengan prosedur kewangan dan ia adalah selaras dengan Arahan Amanah Kumpulan Wang Penyelenggaraan
Jalan Negeri, Para 7 (c) di mana:-
“Wang dalam Akaun ini hendaklah dibelanjakan hanya bagi tujuan-tujuan yang berikut;
- Membayar kos penyelenggaraan semua jalan negeri
- Perbelanjaan-perbelanjaan seperti pembelian jentera, pembayaran gaji serta lain-lain imbuhan kepada pekerja yang berkaitan dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti penyelenggaraan jalan ; dan
- Apa-apa jua perbelanjaan lain yang diluluskan oleh YB. Pegawai Kewangan Negeri.”
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil kira pandangan audit supaya peruntukan MARRIS digunakan bagi tujuan penyelenggaraan jalan dan longkang. Sehubungan itu, di masa-masa akan datang, Perbendaharaan Negeri akan lebih berhati-hati untuk menggunakan peruntukan MARRIS tersebut.