Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

24) WI-FI PERCUMA

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan kemudahan wi-fi percuma di Selangor?

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dasar Ubiquitous Wireless Selangor (U-WiSEL) pada tahun 2009 iaitu untuk mewujudkan capaian internet secara tanpa wayar yang bersifat sejagat dan merata capaiannya di seluruh Negeri Selangor. Pada April 2010, Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan fasa pertama WIFI percuma. Perancangan Kerajaan Negeri adalah untuk melancarkan lebih banyak lagi inisiatif WiFi sama ada daripada inisiatif kerajaan Negeri atau pelaburan pihak swasta (PFI) dan perancangan untuk melaksanakan wifi dengan pihak swasta telah diadakan iaitu melalui projek Hywin dengan kerjasama Syarikat Telekom Malaysia.

  2. Sila nyatakan rasional untuk jawapan (a) di atas dan langkah yang telah diambil untuk mengatasi sebarang kesulitan dalam perlaksanaannya.

    Kerajaan Negeri sedang menuju kepada taraf Liveable State yang mana salah satu cirinya peningkatan kualiti hidup rakyat melalui visi Kerajaan Negeri iaitu “you are connected in Selangor”.Kerajaan Negeri juga telah meneliti beberapa teknologi terkini daripada pelbagai syarikat untuk di bawa masuk ke Selangor. Teknologi Hywin (Hybrid Wireless Network) umpamanya mampu menyediakan teknologi wifi yang lebih baik dan kini dalam peringkat untuk bekerjasama dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad.

  3. Berapakah anggaran kos untuk melaksanakannya?

    Anggaran kos yang terlibat bagi tempoh setahun yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan kemudahan WiFi secara percuma adalah bergantung pada beberapa faktor seperti :

    1. Bilangan lokasi,
    2. Tempoh sewaan perkhidmatan,
    3. Kemudahan yang boleh ditawarkan oleh Kerajaan Negeri serta
    4. Pelan perniagaan kreatif yang boleh diberikan oleh ISP kepada kerajaan negeri dalam mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

    Walau bagaimanapun kerajaan negeri menganggarkan kos sewaan adalah sebanyak RM 10,000.00 hingga RM 30,000.00 setahun bagi satu lokasi kawasan perkhidmatan WiFi dengan kapasiti talian utama (backhaul) sebanyak 4Mbps.

Lampiran

Tiada Lampiran.