Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

18) SUMBER AIR LOMBONG

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Dr. Karim Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan negeri ada bercadang menggunakan air lombong sebagai sumber alternatif untuk mengatasi masalah bekalan air. Adakah sumber air ini benar-benar selamat kerana terdapat dakwaan NGO mengatakan ia tidak selamat?

    Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah mengadakan pensampelan kualiti air terhadap 30 buah kolam bekas lombong pada tahun 2005 dan memilih 17 buah lombong yang sesuai dijadikan sumber air alternatif. Salah satu kriteria utama pemilihan kolam bekas lombong adalah ujian kualiti airnya adalah menepati piawaian air mentah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Pada tahun 2011, pensampelan dilakukan sekali lagi terhadap 17 buah lombong tersebut bagi mengkaji kesesuaian sumber air lombong untuk tujuan semakan kualiti terkini dan juga pewartaan. Sekiranya air kolam bekas lombong digunakan sebagai sumber bagi bekalan air, air tersebut perlu dirawat dan mesti menepati piawaian air minum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara untuk menjalankan operasi loji pembersihan air.

  2. Berapakah kos rawatan air lombong berbanding kos rawatan air sungai?

    Daripada analisis kualiti terdapat air kolam bekas lombong yang hanya perlu melalui proses rawatan secara konvensional yang mana hanya memerlukan pengedosan minima bagi tawas (alum) dan klorin bagi pembasmi kuman. Kos rawatan air kolam bekas lombong adalah lebih murah berbanding kos rawatan air sungai kerana kadar kekeruhannya yang rendah dan stabil berbanding air sungai yang memerlukan banyak alum bagi proses penggumpalan mendakan. Di samping itu kurangnya kekeruhan akan mengurangkan kos operasi bagi pengurusan mendakan untuk dilupuskan.

  3. Berapakah keluasan dan anggaran jumlah air lombong yang ada di Selangor serta lokasinya?

    Keluasan keseluruhan 17 kolam bekas lombong tersebut adalah  2,019 ekar dengan jumlah isi padu sebanyak 40.7 juta meter padu.  Lokasi lombong tersebut ialah 9 buah di daerah Hulu Selangor, 5 buah di Kuala Selangor dan tiga (3) buah di Kuala Langat.

    Kolam bekas lombong ini juga boleh diintegrasikan dengan aliran banjir air sungai bagi menambah isi padu air kolam yang mana semasa hari hujan air akan dialirkan masuk ke dalam kolam, apabila musim kering air kolam digunakan sebagai sumber bekalan air.

Lampiran

Tiada Lampiran.