Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

16) PEMBANGUNAN SEMULA BANDAR

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan pembangunan semula kediaman di kawasan Bandar?

    Pembangunan semula bandar merupakan salah satu daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor.  Pada 30 November hingga 1 Disember 2009, satu Seminar Antarabangsa dengan tema ‘International Conference Urban Regenaration – Towards Selangor’s Sustainable Future’ telah diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa. Seminar yang melibatkan lebih 300 peserta ini telah dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri, REHDA Negeri Selangor dan Pertubuhan Perancang Malaysia. Y.A.B Tan Sri Dato’Seri Menteri Besar Selangor telah merasmikan seminar tersebut dengan menyampaikan Ucaptama yang bertajuk ‘Setting The Local Context – Urban Regenaration in Selangor’ Seminar ini turut melibatkan pembentang daripada luar negara seperti USA, Brisbane dan Singapura untuk berkongsi idea dan cadangan dalam usaha untuk memastikan pembangunan semula bandar dapat dilaksanakan dengan jayanya

    Kerajaan Negeri telah memberi fokus pembangunan semula bandar di Kawasan Petaling Jaya dan Klang memandangkan kawasan tersebut membangun dengan pesat dan terdapat juga kawasan lama yang telah usang.  Walau bagaimanapun, kawasan Petaling Jaya telah dipilih sebagai fokus untuk pembangunan semula bandar yang merangkumi kawasan Seksyen 51, 51A, 52 dan Seksyen 8.

    Selain itu melalui Rancangan Tempatan yang disediakan,  tapak-tapak untuk pembangunan semula kediaman di kawasan bandar juga telah dikenalpasti. Antaranya di Pekan Subang, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang dan Kampung Padang Jawa bagi kawasan MBSA. Bagi kawasan MPK kawasan yang telah dikenalpasti adalah di Jalan Kem Pelabuhan Klang, Jalan Bharu, Pusat Bandar Klang dan Kampung Pandan. Di kawasan MPKj pula kawasan yang telah dikenalpasti adalah Pusat Bandar Kajang, Batu 11 Balakong dan Kampung Sungai Ramal. Di kawasan MPAJ adalah di Taman Sri Keramat AU, Kampung Pandan Dalam dan bagi MPSJ kawasan yang telah dikenalpasti antaranya adalah Seri Kembangan dan Serdang Lama.

    Bagi melaksanakan pembangunan semula bandar , Kerajaan Negeri juga perlu mengambil kira pelbagai faktor yang di antaranya adalah isu sebahagian besar kawasan-kawasan pembangunan semula bandar ini adalah merupakan tanah milik individu dan swasta. Oleh yang demikian cabaran utama untuk merealisasi pembangunan ini adalah untuk melaksanakan konsep ‘smart partnership’  yang melibatkan kerjasama dan peranan pihak swasta.

    Secara ringkasnya, pihak Kerajaan Negeri begitu yakin dan bersungguhsungguh untuk merealisasikan agenda pembangunan semula kediaman di kawasan bandar ini  khususnya untuk mencapai matlamat Pakej Rangsangan Ekonomi. Walau bagaimanapun, perancangan tersebut akan mengambil masa dan dilaksanakan secara berperingkat untuk mencapai sasaran sehingga tahun 2025.

Lampiran

Tiada Lampiran.