Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

7) KERAJAAN NEGERI TELAH MELANCARKAN TAHUN MELAWAT SELANGOR DENGAN TEMA SELANGOR SHINE SEBELUM INI

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Program Selangor Shine berjaya?

    Program Selangor Shines yang dilancarkan telah berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai. Memandangkan program ini merupakan program kempen yang berterusan sejak tahun 2010 lagi, program ini telah dilihat memberikan kesan positif terhadap peningkatan kedatangan pelancong ke negeri Selangor. Malah, secara tidak langsung ia turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri Selangor khususnya bagi subsektor perkhidmatan. Oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan, Program Selangor Shines masih diteruskan sehingga kini.

  2. Berapakah bilangan pelancong yang datang ke Selangor?

    Terdapat peningkatan yang sangat memberangsangkan berkaitan dengan jumlah kedatangan pelancong ke negeri Selangor bagi tempoh dua tahun yang lalu. Perbandingan bilangan pelancong yang datang ke Selangor bagi tahun 2010 dan 2011 adalah seperti berikut :-

      2010 2011
    Bilangan pelancong 5,833,858 6,040,418

    Buat pertama kalinya, bilangan pelancong ke Selangor telah mencapai angka 6 juta orang.

  3. Adakah pembinaan banyak hotel bajet baru menyumbang program Selangor Shine?

    Tidak dapat dinafikan bahawa, pembinaan dan pertambahan hotel-hotel di negeri Selangor adalah sangat menggalakkan. Dalam hal ini, pertambahan bilangan hotel dari bajet sehingga ke 6 bintang merupakan suatu ‘bonus’ kepada perkembangan dan pembangunan industri pelancongan di negeri ini terutama daripada aspek kepelbagaian pilihan penginapan kepada para pelancong. Justeru itu, Selangor Shines dan hotel memberikan sumbangan timbal balik antara satu sama lain. Keduaduanya saling menyokong khususnya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong.

    Negeri Selangor mempunyai hampir 200 tapak pelancongan, dan Kerajaan Negeri telah menumpukan perhatian pada 10 produk istimewa untuk dipromosi, iaitu: Bukit Malawati, Hutan Lipur Kanching, FRIM, Sunway Lagoon, Sepang Goldcoast, kelip-kelip di Kuala Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Batu Caves, Dong Zen dan Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz.

    Pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan memperkukuhkan sektor pelancongan di daerah-daerah Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor dan khususnya Sabak Bernam. Satu peruntukan khas akan disalurkan melalui Majlis Daerah Sabak Bernam untuk tujuan menaik taraf infrastruktur dan juga menjalankan aktiviti-aktiviti pelancongan. Tambahan lagi, Bulan Melawat Sekinchan dan Bulan Melawat Kuala Langat akan dianjurkan pada tahun ini. Saya akan turun ke daerah-daerah tersebut untuk berdialog dengan pengusaha-pengusaha sektor pelancongan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.