Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

188) ALAM SEKITAR

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan kawasan-kawasan bakau (mangrove) di Negeri Selangor dan nyatakan keadaannya. Apakah inisiatif-inisiatif kerajaan untuk memelihara kawasan bakau?

    1. Sebahagian besar dari kawasan hutan bakau diwartakan sebagai hutan simpanan kekal. Pada masa ini terdapat 26 kawasan hutan bakau telah diwartakan sebagai hutan simpan melibatkan kawasan seluas ±18,998 hektar @ 2.3% daripada keluasan tanah Negeri (±792,534 hekar).

     

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan sentiasa memantau dan menjalankan rondaan penguatkuasaan secara berkala bagi menjamin keadaan hutan bakau sentiasa terpelihara bagi menjamin kawasan hutan bakau dapat memainkan peranannya dalam melindungi ekosistem persisiran pantai. Dalam masa yang sama Jabatan juga menjalankan kempen kesedaran dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan dan juga pihak sekolah sebagai usaha meningkat kesedaran serta memulihara kawasan hutan bakau.

     

    Selain itu Program penanaman pokok bakau juga diteruskan melalui Program Penanaman Bakau dan Spesies-spesis yang Sesuai di Pesisir Pantai Negara yang mana peruntukan ini telah digunakan penanaman serta rawatan pokok bakau.

     

    Maklumat Tambahan

     

    –           Seperti di Lampiran I (Hutan Simpan Paya Bakau)

  2. Apakah perkembangan kajian untuk mengukur emisi karbon? Sila bekalkan laporan terkini kajian tersebut.

    1. Kerajaan Malaysia yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri semasa menghadiri Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark pada bulan Disember 2009 telah mengumumkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (Greenhouse Gases – GHGs) sehingga 40 peratus intensiti karbon menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005. Ini adalah sebagai sumbangan negara di peringkat global dalam menangani isu perubahan Indikator pengurangan

     

    ini merupakan sasaran sukarela negara dan bukan mandatori serta tertakluk kepada pembangunan teknologi, penyediaan kewangan yang mencukupi serta peningkatan kapasiti.

     

    Bagi menangani isu perubahan iklim secara bersepadu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah menyediakan Dasar Perubahan Iklim Negara yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 20 November 2009. Dasar ini digubal bagi mengarusperdanakan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Kementerian dan agensi dalam mengambil tindakan menangani isu perubahan iklim.

     

    Dalam usaha mengurangkan emisi karbon berdasarkan intensiti karbon sehingga

    40 peratus menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005, Kerajaan telah menyediakan kerangka atau Road Map yang meliputi tiga program utama iaitu, Kecekapan Penggunaan Tenaga (Energy Efficiency EE), Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy – RE) dan Pengurusan Sisa Pepejal. Program-program yang melibatkan sektor tenaga iaitu EE dan RE adalah diterajui oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) manakala sektor Pengurusan Sisa Pepejal adalah diterajui oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Kementerian Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan.

     

    Bagi program EE, usaha-usaha kecekapan tenaga seperti penggunaan peralatan cekap tenaga, aspek reka bentuk bangunan dan penggunaan amalan pengeluaran bersih (cleaner production) yang dapat mengurangkan penggunaan tenaga di sektor industri dan komersial akan dilaksanakan. Umpamanya, seperti mana yang telah diumumkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kerajaan akan menghentikan pembuatan, pengimportan dan penjualan lampu incandescent light bulbs pada tahun 2014. Ini dijangka dapat mengurangkan 9 juta tan gas karbon dioksida (CO2) pada tahun 2020.

     

    Adalah dijangkakan menjelang tahun 2020, lebih banyak tenaga akan dijana daripada sumber-sumber yang boleh diperbaharui (RE) seperti biojisim, biogas, mini hidro, tenaga suria dan bahan buangan. Ini dijangka dapat mengurangkan 11 juta tan gas karbon dioksida (CO2) pada tahun 2020.

     

    Bagi pengurusan sisa pepejal pula, polisi dan pelan pengurusan sedia ada telah menggariskan beberapa aktiviti yang boleh menyumbang kepada pengurangan emisi karbon seperti kitar semula dan penggunaan teknologi alternatif seperti kemudahan Material Recovery Facility (MRF) dan Loji Rawatan Haba (Thermal Treatment Plant). Pengurusan sisa pepejal secara holistik melalui penggunaan tapak pelupusan sanitari dapat membantu memperoleh kembali (recovery) gas metana (CH4) yang terbebas untuk menjana tenaga. Ini dijangka dapat mengurangkan 25 juta tan gas karbon dioksida (CO2) pada tahun 2020.

     

    Di samping program-program utama seperti yang telah dinyatakan, keluasan hutan Negara juga harus dikekalkan pada tahap sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah keluasan tanah Negara. Ini untuk menjamin penyerapan dan penyimpanan karbon dioksida secara berterusan. Buat masa sekarang 56.4% daripada keluasan tanah Negara adalah diliputi oleh hutan.

     

    Bagi usaha mengurangkan emisi karbon dalam jangka masa panjang, Kerajaan telah menyediakan satu Road Map yang komprehensif dan terperinci. Ini akan melibatkan sektor-sektor lain seperti pengangkutan, proses industri, pertanian dan perhutanan.

     

    Berdasarkan Laporan Komunikasi Kebangsaan Kedua Malaysia kepada Sekretariat Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu iaitu Second National Communication to the United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC, Januari 2011, jumlah emisi karbon adalah 222.99 Mt CO2 eq pada tahun 2000, manakala pengurangannya pula adalah 249.78 CO2 eq dan emisi bersih selepas mengambilkira pengurangan adalah -26.79 Mt CO2 eq. Laporan ini boleh juga diperolehi melalui versi softcopy di nc2.nre.gov.my.

     

    Pada masa ini, Malaysia menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sedang menyediakan Laporan Komunikasi Kebangsaan Ketiga (NC3) kepada Sekretariat Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Laporan ini antara lain merangkumi data-data emisi karbon dari lima (5) sektor utama iaitu tenaga, industri, sisa buangan, perubahan guna tanah dan pertanian pada tahun 2005 yang telah ditetapkan sebagai tahun asas (base year) bagi pelaporan NC3.

     

    Menjelang bulan Mei 2013, Malaysia telah berjaya mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 30.53% ke arah pengurangan intensiti sebanyak 40%. Pencapaian ini menepati jadual pencapaian dan bermakna bahawa Malaysia berkebolehan mencapai indikator ini menjelang tahun 2020.

     

    (LAMPIRAN I)

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

     

    – Jumlah bilangan Hutan Simpanan Kekal (Paya Bakau) berserta keluasannya.

     

    No. Nama Hutan Simpan Keluasan (ha)
    1. HS Banjar Utara 1,011.64
    2. HS Banjar Utara (T) 226.04
    3. HS JugraKompok 1 418.98
    4. HS JugraKompok 2 85.88
    5. HS Kapar 138.2
    6. HS Kapar (T) 44.18
    7. HS Kuala Bernam 846.50
    8. HS Pulau Che Mat Zain 1,419.21
    9. HS Pulau Che Mat Zain (T) 42.91
    10. HS Pulau Kelang 5,611.81
    11. HS Pulau Kelang (T) 267.75
    12. HS Pulau Ketam 2,365.00
    13. HS Pulau Pintu Gedong 741.55
    14. HS Pulau Rusa 85.00
    15. HS Pulau Selat Kering 932.77
    16. HS Pulau Selat Kering (T) 509.00
    17. HS Pulau Selat Mahang 148.88
    18. HS Pulau Selat Meriam 53.81
    19. HS Pulau Tengah 1,415.64
    20. HS Pulau Tengah (T) 790.00
    21. HS Pulau Tonggok 33.65
    22. HS Sepang 160.51
    23. HS Sepang Kechil 267.98
    24. HS Sepang Kechil (T) 17.58
    25. HS Telok Gadong 659.79
    26. HS Telok Gadong (T) 703.40
    JUMLAH KESELUHURUHAN 18,998.00

     

    Pada tahun 2013, sejumlah RM245,000.00 bagi tujuan melaksanakan Program Tanaman Pokok Bakau Dan Spesies-spesies Yang Sesuai Di Persisiran Pantai Negara. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah seperti memulihkan semula kawasan hutan bakau, kempen kesedaran, tanaman dan rawatan, penandaan dan penyelenggaraan sempadan serta pemasangan papan tanda.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.