Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013
171) PROGRAM PERUMAHAN RAKYAT
Tahun: 2013
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Pesuruhjaya Bangunan (Shah Alam) bagi membantu pangsapuri kos rendah di Bandar Baru Sungai Buluh yang telah diabaikan oleh pemaju kerana pemaju berkenaan telah di likwidasi oleh mahkamah.
Pemaju Pangsapuri Kos Rendah Sungai Buluh Fasa II & Fasa IV yang telah dilikuidasi oleh mahkamah ialah Sateras Holdings Sdn Bhd. Oleh demikian Bahagian Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (COB MBSA) akan mengarahkan pelikuidasi syarikat yang dilantik mahkamah tersebut untuk mengurus dan menyenggara pangsapuri ini supaya ianya berada dalam keadaan baik dan sempurna sebelum diserahkan kepada Badan Pengurusan Bersama selaras Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) Akta 663.
-
Mengapakan Pesuruhjaya Bangunan (Selayang) masih tidak mengadakan mesyuarat pemilihan JMB di pangsapuri kos rendah Danau Rebung Sungai Buluh walaupun tempoh mengadakan mesyuarat agung tahunan telah luput tempoh?
Berdasarkan peruntukan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) Akta 663, Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kos Rendah Danau Rebung adalah bertanggungjawab untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sekali setahun tidak lebih 15 bulan. Memandangkan ianya telah mencapai tarikh luput maka Unit Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbandaran Selayang (COB MPS) telah mengambil langkah
proaktif mengeluarkan 2 notis teguran dan peringatan kepada JMB berkaitan seperti berikut:
- 26 Jun 2013 – Teguran dan peringatan bagi mengadakan AGM; dan
- 18 Oktober 2013 – Notis terakhir (JMB diberi tempoh 14 hari bagi memaklumkan tarikh AGM)
Merujuk kepada Seksyen 10 Akta 663, Pesuruhjaya boleh memberi kuasa kepada mana-mana pembeli untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM). Walau bagaimanapun ianya tidak terpakai di bawah peruntukan Seksyen 9 bagi mengadakan AGM. Sehingga kini pihak JMB dalam proses penyediaan laporan akaun pengurusan untuk dibentangkan di dalam AGM yang akan diadakan dalam masa terdekat.
-
Adakah tindakan Pesuruhjaya Bangunan (Selayang) bagi membantu memperbaiki kerosakan lif dan kerosakan pembetungan di pangsapuri kos rendah Desa 1 yang telah bertahun lama tidak berfungsi?
Berdasarkan Akta Hak milik Strata 1985 [Akta 318], hak milik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hak milik semua pemilik dan mereka bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri sendiri. Memandangkan kouta pemilikan hak milik strata daripada pemaju kepada pemilik belum mencapai 25% untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama (MATP) bagi melantik ahli majlis Perbadanan Pengurusan di kalangan pemilik maka tuan tanah atau pemaju bertanggungjawab menyenggara dan menguruskan bangunan termasuklah memperbaiki kerosakan lif dan pembetungan. Walau bagaimanapun kos tersebut perlu ditanggung oleh pembeli melalui kutipan caj Kumpulan Wang Pengurusan Perbadanan Pengurusan.
Pihak Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbandaran Selayang (COB MPS) sentiasa berusaha untuk memastikan Perbadanan Pengurusan ditubuhkan dengan segera. Antara tindakan yang diambil seperti kempen turun padang bagi memberi khidmat nasihat dan konsultasi melalui taklimat, dialog, perbincangan dan mesyuarat. Selain itu notis peringatan juga turut diberikan kepada pembeli yang mempunyai tunggakan caj yang tinggi sebagai mekanisma meningkatkan kutipan caj bagi tujuan menyenggara bangunan seperti memperbaiki lif dan pembetungan yang sering kali rosak.