Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
186) MANIFESTO ANAK KE NURSERI
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah status pelaksanaan manifesto ini?
Bantuan untuk keluarga yang menghantar anak-anak mereka ke Nurseri telah dilaksanakan pada Julai 2012. Skim ini dikenali dengan nama Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar). Ia bertujuan membantu keluarga yang berpendapatan rendah yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan bagi meringankan bebanan kos penghantaran anak-anak mereka ke Nurseri.
Melalui SiKembar, setiap permohonan yang layak dan berjaya akan dibantu dengan pemberian manafaat berjumlah RM100 sebulan sebagai menampung sebahagian daripada kos menghantar anak-anak mereka ke Nurseri.
Dengan cara ini, mereka diharap dapat meningkatkan pendapatan keluarga terutamanya bagi keluarga yang suami dan isteri terpaksa bekerja bagi menampung keperluan kos sara hidup yang semakin meningkat.
-
Nyatakan jumlah nurseri berdaftar di Selangor dan jumlah anak-anak terbabit sehingga 2013 yang dihantar ke nurseri 2012?
Terdapat sejumlah 315 buah Nurseri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 120 Nurseri telah memohon untuk didaftarkan di bawah skim ini. Namun, hanya 43 Nurseri sahaja yang berjaya mendaftarkan peserta bagi menikmati manafaat ini. Jumlah peserta yang berjaya adalah seramai 187 orang yang menerima bantuan bulanan melalui SiKembar.
Bagi memastikan lebih ramai lagi yang akan dapat menikmati manafaat ini, syarat kelayakan yang sebelum ini menetapkan pendapatan kurang daripada RM1500 sebulan akan dicadangkan untuk dibuat kajian semula. Satu cadangan untuk meningkatkannya kepada golongan berpendapatan RM2500 – RM3000 akan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dipertimbangankan.