Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

168) PENURAPAN JALAN

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah spesifikasi pembaikan dan penurapan jalan oleh PBT?

    Spesifikasi pembaikan dan penurapan jalan oleh PBT adalah mengikut kepada spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak JKR iaitu :

    • Kerosakan jalan berlubang perlu dibuat penampalan pada permukaan berlubang dengan membuat potongan menggunakan “diamond cutter” berbentuk segi empat sama mengikut kelebaran ”pathole”. Kawasan yang dipotong dibersihkan dengan lapisan “tac coat”. Seterusnya “concrete asphalt/premix” diletakkan di dalam lubang dan dimampatkan.
    • Bagi jalan yang mempunyai kerosakan permukaan, perlu diturap dengan menggunakan mesin “paver”. Suhu premix semasa penghantaran adalah 120°C. Kerja-kerja pemadatan perlu menggunakan “steel roller” seberat 10tan. Bagi mendapatkan permukaan yang rata, “tyre roller” digunakan bagi mendapatkan ketebalan 50mm bagi jalan utama dan 40mm bagi kawasan perumahan.
  2. Jika kerja dilakukan mengikut spesifikasi, apakah tempoh hayat pembaikan dan penurapan?

    Tempoh hayat pembaikan dan penurapan jalan adalah bergantung kepada faktor cuaca dan beban kenderaan yang menggunakan jalan berkenaan. Di samping itu juga, sistem perparitan yang tidak efisien juga merupakan antara penyebab jalan berkenaan menjadi lebih mudah rosak. Kebiasaannya, jalan yang direka bentuk mengikut spesifikasi dapat bertahan selama 5 hingga 10 tahun.

  3. Apa tindakan kerajaan negeri untuk mendapat jaminan daripada kontraktor supaya kerja tahan mengikut spesifikasi?

    Pelbagai tindakan diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan kontraktor mengikut kepada spesifikasi yang telah ditetapkan. Antara tindakan yang diambil adalah dengan melakukan beberapa ujian seperti ujian ketebalan premix (Coring Test), ujian kepadatan (Carlifornia Bearing Ratio), dan ujian saiz bahan batuan (Sieve analysis). Selain itu pihak kontraktor juga telah diwajibkan menyediakan bon jaminan perlaksanaan atau wang tahanan mengikut harga kontrak yang diterima dan dikenakan tempoh tanggung kecacatan (Defect Liability Period) selama 1 tahun atau 6 bulan mengikut gred kerja yang dijalankan. Sekiranya dalam tempoh tersebut berlaku kerosakan, pihak kontraktor diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan semula atau wang tahanan tersebut tidak akan dipulangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.