Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

68) TEKNOLOGI HIJAU

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah dasar teknologi hijau Selangor?

    Kerajaan Negeri kini dalam usaha penggalakan ke arah industri yang lebih mesra alam melalui sektor industri teknologi hijau dan industri bio-teknologi. Kerajaan negeri percaya aktiviti pengeluaran yang berteraskan teknologi hijau mampu bersaing di dunia pembuatan dan perindustrian.

    Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak meletakkan dasar khas mahupun zon khas bagi mana-mana industri yang berasaskan teknologi hijau di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, sebagai satu langkah permulaan, Kerajaan Negeri memfokuskan kawasan perindustrian di Science Park 2 (SSP2) di Sepang sebagai perintis dalam menggalakkan pelaburan sektor perindustrian yang berasaskan teknologi hijau. Kerajaan Negeri percaya, usaha murni ini akan terus digarap dari masa ke masa agar sektor industri hijau berkembang di negeri ini.

  2. Bagaimana teknologi ini dapat memajukan sosioekonomi negeri?

    Dalam usaha menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan teknologi hijau di negeri ini, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi pelbagai bantuan dari segi khidmat nasihat dan lain-lain perkhidmatan yang sewajarnya kepada para pelabur yang ingin membuat pelaburan industri berteknologi hijau di negeri Selangor. Walaupun perindustrian yang berasaskan teknologi hijau masih belum dipelopori oleh banyak penggiat industri, tetapi Kerajaan Negeri melalui Selangor State Investment Centre (SSIC) akan sentiasa membuat promosi di dalam dan luar negara bagi tujuan memperluaskan lagi industri ini pada masa hadapan. Perkembangan industri teknologi hijau secara lebih meluas kelak akan dapat meningkatkan kualiti industri dan sekali gus menggalakkan persaingan sihat di kalangan pengusaha-pengusaha industri bagi memberikan tambah nilai ke atas pengeluaran dan industri masing-masing.

    Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang yang sama kepada semua jenis industri yang beroperasi di dalam negeri Selangor. Walaupun Kerajaan Negeri tidak menggariskan insentif khas bagi industri teknologi hijau tetapi Kerajaan Negeri masih lagi memenuhi setiap insentif yang telah digariskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Insentif-insentif yang telah disediakan adalah merangkumi insentif pengurusan persekitaran seperti insentif bagi aktiviti kitar semula bahan industri, insentif bagi aktiviti pelupusan sisa toksik industri, insentif bagi pemuliharaan tenaga, insentif bagi aktiviti menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan insentif dari segi duti import dan pengecualian cukai jualan bagi sistem solar.

Lampiran

Tiada Lampiran.