Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
41) PROJEK PEMBERSIHAN SUNGAI KLANG
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah perkembangan terkini cadangan projek tersebut ?
Pelaksanaan keseluruhan pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang meliputi tempoh 30 tahun. Sehingga 2012 Kerajaan Negeri telah menyiapkan fasa kajian dan perancangan dengan penyediaan Laporan berikut:-
- Laporan Analisis & Inventori Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang;
- Executive Summary – Klang River Rehabilitation and Development
Project;
- Laporan Pelan Tindakan Kawasan Mengikut Keutamaan Kawasan Fasa 1 (MPK);
- Laporan Cadangan Awal Projek – Projek Pembangunan Di Bawah Projek Pemuliharaan & Pembangunan Sungai Klang (PPPSK) Fasa 1 – MPK untuk dijadikan rujukan dan panduan tindakan di peringkat PBT.
Pada masa ini, beberapa kajian dan laporan-laporan berkaitan Sungai Klang iaitu:-
- Laporan Yesteryears of Sungai Klang – mendokumenkan imej-imej dan gambar masa lalu sekitar Sungai Klang;
- Laporan Discharge sepanjang Sungai Klang dalam Kawasan MPK (Fasa 1) – untuk mengenalpasti dan membuat pemetaan punca-punca saliran yang mengalir ke dalam Sungai Klang serta mengenalpasti tahap dan sumber pencemaran (akan diikuti dengan kajian bagi kawasan MBSA, MPSJ dan MBPJ);
Kerajaan Negeri melalui KDEB sedang berusaha mengenalpasti pelabur-pelabur yang berminat dalam pembangunan Sungai Klang.
-
Sila nyatakan apakah cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh pihak Kerajaan dalam usaha melaksanakan projek tersebut ?
Di antara masalah-masalah yang dihadapi melibatkan kewujudan aktiviti-aktiviti pembangunan di dalam dan berhampiran kawasan tebing sungai serta pemilikan tanah di kawasan rizab sungai yang memberi impak kepada perancangan dan pemeliharaan kawasan tebing sungai.
Selain itu, terdapat keperluan kepada pemantauan dan penyelarasan secara bersepadu untuk mempastikan tindakan penguatkuasaan yang efektif.
-
Sila nyatakan apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh Kerajaan Negeri sekiranya cadangan projek tersebut tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan ?
Sebenarnya tidak timbul soal tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan kerana Kerajaan Negeri turut serta dalam Jawatankuasa Pemandu Projek “Greater KL/KV “ yang menjadi salah satu teras Transformasi Ekonomi Nasional, NKRA. Salah satu projek di bawah Greater KL/KV ialah Projek Pembersihan dan Pemuliharaan Sungai di bawah tajuk Projek “River of Life”.
Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang merupakan satu projek awam yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta melalui Public/Private Partnership (PPP) atau Private Financing Initiative (PFI) dimana syarikat-syarikat yang dilantik akan membiayai kos pemuliharaan dan pembersihan sungai. Sebagai balasan, mereka perlu mengemukakan cadangan pembangunan untuk pertimbangan kerajaan negeri Selangor.
Isu yang paling ketara ialah bagi syarikat-syarikat tersebut mengenal pasti tapak tanah yang sesuai dan berdaya maju untuk dibangunkan bagi menampung kos pembersihan sungai.
Pendekatan holistik yang diusahakan Kerajaan Negeri sekarang ialah menubuhkan pasukan khas dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri yang terdiri dari pegawai serta pakar-pakar perunding perancang untuk mengenal pasti semua tanah-tanah kerajaan, memulihkannya sekiranya perlu seterusnya mencadangkan pembangunan yang sesuai berdasarkan keperluan setempat.
Dengan adanya inventori ini, akan memudahkan segala urusan berhubung tanah-tanah tersebut untuk segera dimajukan.