Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

11) PIHAK BERKUASA TEMPATAN (UMUM)

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sepanjang tahun 2008-2013 apakah pernah dibuat kajian menyeluruh, bebas dan signifikan tentang tahap kepuasan pelanggan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan dan jika ada, apakah hasilnya?

    Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2008-2013 belum pernah membuat kajian menyeluruh, bebas dan signifikan tentang tahap kepuasan pelanggan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan. Walaubagaimanapun, setiap PBT telah melaksanakan kajian tahap kepuasan pelanggan masing-masing dengan mengedarkan borang soal selidik. Hasil daripada kajian kepuasan pelanggan tersebut akan diteliti untuk mengenalpasti sejauh mana tahap prestasi perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan dapat ditambahbaik dan seterusnya diperbaiki.

    Selain daripada itu melalui penilaian Star Rating PBT (SSR-PBT) oleh pihak KPKT secara tidak langsung telah menilai PBT menggunakan 352 indikator penilaian yang dibangunkan berdasarkan 4 bidang utama iaitu pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti dan pandangan penduduk (penglibatan Komuniti dan pandangan Penduduk – Borang Soal Selidik).  Secara tidak langsung melalui penilaian SSR-PBT ini tahap kepuasan pelanggan di PBT dapat dinilai secara menyeluruh dan bebas.

  2. Bagaimanakah bentuk reformasi pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dibuat oleh kerajaan bagi memastikan semua Pihak Berkuasa Tempatan bersifat Ôcustomer centrictÕ?

    Reformasi pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dibuat oleh kerajaan bagi memastikan semua Pihak Berkuasa Tempatan bersifat ‘customer centric’ ialah melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan telah menyediakan Pelan Tindakan 5 Tahun Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan (Rangka Pertama).

    Perkara-perkara yang akan diberi perhatian ke arah Pihak Berkuasa Tempatan bersifat ‘customer centric’ ialah dimulai dengan membina imej positif Pihak Berkuasa Tempatan. Kerajaan Negeri akan memastikan masyarakat mengenali Datuk Bandar/Yang DiPertua serta barisan Pengarah Jabatan di kawasan Majlis masing-masing melalui paparan billboard di lokasi yang strategik. Melalui paparan billboard berkenaan turut mengandungi maklumat penting seperti nombor hotline, alamat laman web Majlis, alamat facebook, alamat twitter serta alamat Majlis. Cara ini diyakini dapat membantu masyarakat menyalurkan sebarang bentuk aduan ke pihak Majlis dengan menggunakan pelbagai kaedah yang disediakan. Setiap Pihak Berkuasa Tempatan digalakkan untuk mengadakan Perjumpaan Bulanan Bersama Pembayar Cukai. Perjumpaan ini bertujuan untuk menerima aduan dan bertukar-tukar pandangan di dalam menyelesaikan sesuatu masalah setempat.

    Perkara lain yang akan diberi penumpuan adalah menumpukan kepada tugas asas Pihak Berkuasa Tempatan iaitu dengan menubuhkan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) di Majlis Bandaraya dan Perbandaran. Penubuhan pasukan ini mampu untuk bertindak dengan segera menghadapi bencana contohnya banjir, tanah runtuh dan lain-lain.

    Kerajaan Negeri turut merangka tindakan untuk mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan. Salah satu rangka kerja yang akan dilaksanakan ialah Siaran Secara Langsung Mesyuarat Bulanan Majlis bagi Majlis Bandaraya dan Perbandaran. Kaedah ini memberi kemudahan kepada pembayar cukai untuk menyertai Mesyuarat Bulanan Majlis melalui Siaran Secara Langsung di laman web Pihak Berkuasa Tempatan. Rangka kerja seterusnya ialah semua Pihak Berkuasa Tempatan diminta untuk memaparkan minit Mesyuarat Bulanan di laman web masing-masing. Kedua-dua rangka kerja ini akan dapat dilaksanakan mulai bulan September 2013.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut juga merangka beberapa projek khas yang akan memberi manfaat dan kemudahan kepada masyarakat. Projek khas ini masih diperingkat kajian untuk diteliti kesesuaian dan keperluan bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.