Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

5) KEGIATAN PENCEROBOHAN TANAH HUTAN SIMPAN

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila huraikan sehingga setakat ini berapakah jumlah kes-kes pencerobohan tanah hutan simpan secara haram yang telah dikenalpasti oleh pihak Kerajaan mengikut susunan daerah ?

    Sepanjang tempoh 2013, terdapat empat (4) kes pencerobohan hutan. Keempatempat kes tersebut melibatkan pelaksanaan aktiviti berikut :

    • Membina struktur/binaan Gabion wall dan longkang untuk tujuan penstabilan cerun dan laluan air di HS Ayer Hitam.
    • Membina papan iklan tanpa kebenaran di HS Kota Damasara
    • Memasuki hutan simpan menggunakan backhoe untuk tujuan membuang tanah pembinaan dan sampah di HS Kota Damasara.
    • Memasuki hutan simpan menggunakan excavator untuk tujuan pertanian di HS Raja Musa.

    Dari jumlah tersebut tiga (3) kes di Daerah Hutan Selangor Tengah dan satu (1) kes di Daerah Hulu Selangor dimana kes memasuki hutan simpan bagi tujuan pertanian di HS Raja Musa dengan menggunakan excavator telah diselesaikan secara kompoun

  2. Sila nyatakan apakah punca utama berlakunya pencerobohan sedemikian dan nyatakan apakah peranan pihak Jabatan Perhutanan dalam konteks pemantauan ?

    Kebanyakan hutan simpan adalah bersempadan dengan tanah milik dan juga kawasan penempatan. Pada masa ini terdapat 25 pegawai yang bertugas sepenuh masa dalam penguatkuasaan. Pasukan ini dibantu oleh 64 kakitangan lain mengikut keperluan. Apabila mengambil nisbah kakitangan penguatkuasaan berbanding dengan keluasan hutan simpan, bermakna setiap pegawai perlu menjaga lebih kurang 10,000 ha. Justeru itu, adalah agak sukar bagi Jabatan Perhutanan untuk memastikan tiada pencerobohan.

    Sementara dari segi peranan Jabatan Perhutanan pula, setiap hutan simpan adalah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan 1985 dan juga undang-undang hutan yang berkuatkuasa sebelum itu. Enakmen tersebut memperuntukan kuasa kepada Jabatan Perhutanan untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan. Bagi tujuan pemantauan, Jabatan Perhutanan telah menyusun jadual pemantauan secara berkala dan pada masa ini pemantauan ditumpukan disekitar kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti sebagai sensitif terhadap pencerobohan. Bagi setiap kes yang dikesan, Jabatan Perhutanan akan menjalankan siasatan dan seterusnya merujuk kepada Timbalan Pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

  3. Sila nyatakan apakah kekangan yang dihadapi oleh pasukan penguatkuasa untuk membendung kegiatan pencerobohan tersebut ?

    Sebagaimana yang telah dijelaskan nisbah keluasan kawasan hutan dan bilangan kakitangan adalah besar. Justeru itu, adalah agak sukar bagi jabatan untuk memastikan tidak berlaku pencerobohan. Walau bagaimana pun, jabatan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk mencegah keskes pencerobohan dan juga kes-kes kesalahan hutan selain dari pencerobohan.

Lampiran

Tiada Lampiran.