Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
276) TAHAP KEMISKINAN RAKYAT
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah kadar kemiskinan keseluruhan rakyat Selangor ketika ini?
Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (seperti di JADUAL 9), pada tahun 2012, negeri Selangor mencatatkan peratus insiden kemiskinan sebanyak 0.4%, manakala peratus insiden kemiskinan tegar adalah sebanyak iaitu 0%. Statistik ini adalah berasaskan kepada Paras Garis Kemiskinan (PGK) Nasional iaitu pada RM830. Namun, sebagai negeri termaju, Selangor tidak boleh menggunakan kriteria paras kemiskinan Putrajaya. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menetapkan paras yang realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500 sebagai Paras Garis Kemiskinan (PGK) di negeri Selangor. Menurut kriteria ini, 30% daripada penduduk Selangor berada di bawah garis kemiskinan.
-
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan tahap kemiskinan boleh bertambah dan berkurangan dalam konteks Selangor?
Kemiskinan merupakan sebagai suatu isu subjektif yang boleh dilihat daripada pelbagai dimensi. Konsep kemiskinan yang digunakan adalah berdasarkan kepada kaedah yang telah diperkenal pada tahun 2004 iaitu dengan mengambil kira PGK makanan dan PGK bukan makanan bagi setiap isi rumah yang Melalui pendekatan ini, sesebuah isi rumah adalah dianggap miskin sekiranya pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada PGK, iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.
Secara umumnya, kadar peningkatan kemiskinan dipengaruhi oleh beberapa faktor. Faktor ekonomi sesebuah negara merupakan salah satu faktor yang dilihat berupaya mempengaruhi peningkatan kadar kemiskinan. Kos sara hidup yang kian meningkat dan suasana ekonomi yang sangat mencabar ini terus menjadi masalah kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Oleh yang demikian, pertumbuhan ekonomi yang sihat dan seimbang adalah amat penting bagi membasmi kemiskinan secara berterusan di samping berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat.
Di samping itu, jumlah pendapatan turut berperanan dalam peningkatan kadar kemiskinan. Ini kerana ketidaksamarataan pendapatan yang meningkat dengan ketara di kalangan pelbagai kumpulan etnik sekaligus akan mewujudkan jurang
ketidaksamarataan pendapatan yang besar dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap kadar kemiskinan di sesebuah Negara. Sikap negatif individu dan masyarakat yang malas berusaha dan bekerja keras juga menjadi faktor penyebab mereka terus dibelenggu dengan kemiskinan walaupun berada di dalam persekitaran yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan.
Faktor pendidikan pula memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar kemiskinan. Sebagai contoh, anak-anak yang berjaya dalam pendidikan dapat membaiki kehidupan keluarga dan sekali gus mengelakkan mereka daripada mewarisi kemiskinan keluarga. Ini secara tidak langsung berupaya mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat. Justeru itu, penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran lebih tinggi adalah cara yang tepat bagi mengatasi masalah peningkatan kadar kemiskinan.
Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kadar kemiskinan adalah melalui penganjuran pelbagai program di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan seperti Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Tajaan Kemahiran Teknikal melalui Kolej Antarabangsa INPENS, Program Pemberian Baucer sempena Perayaan dan Program Back to School. Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut memperluaskan program bantuan menerusi Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa-jawatankuasa Tetap yang lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat seperti Hadiah Anak Masuk Universiti, Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas, Skim Mikrokredit Selangor, Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mikrokredit Wanita Ladang dan pelbagai lagi.
Hakikatnya, penglibatan semua pihak merangkumi sektor swasta, badan bukan Kerajaan dan masyarakat itu sendiri amat penting dalam membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi. Dengan adanya perancangan ekonomi yang fokus dan bersistematik, sistem pendidikan yang berkesan serta pertumbuhan ekonomi yang seimbang, kemiskinan berupaya dikurangkan dengan efektif.