Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

262) MAJLIS TINDAKAN EKONOMI NEGERI

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah fungsi dan struktur Majlis Tindakan Ekonomi Negeri kini?

    Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah ditubuhkan pada 14 Januari 1998 dan berfungsi sebagai badan perundingan kepada Kerajaan Negeri. Ia bertindak sebagai forum untuk membincangkan isu-isu berkaitan perancangan ekonomi dan pembangunan negeri dengan mengadakan siri mesyuarat / perjumpaan dan dialog dengan semua pihak termasuk sektor swasta bagi bidang-bidang berkaitan pertanian, pelaburan dan sebagainya.

     

    Walau bagaimanapun, MTES tidak lagi dilaksanakan setelah penubuhan EXCO Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (EXCO MTES) pada 22 Julai 1998. Fungsi EXCO MTES pula adalah meneliti, menimbang dan meluluskan dasar, program/isu dan projek Kerajaan Negeri yang berkaitan ekonomi dan memerlukan kelulusan segera.

     

    Struktur MTES dahulu dianggotai oleh YAB Dato’ Menteri Besar sebagai Pengerusi dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua Ahli EXCO, Ex-Officio, wakil-wakil persatuan dan pertubuhan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan sebagai Setiausaha.

     

    Manakala EXCO MTES pula dianggotai oleh YAB Dato’ Menteri Besar sebagai Pengerusi dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua Ahli EXCO, Ex-Officio, Pengarah PTG Selangor, Pengarah UPEN, Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Setiausaha Politik kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

     

    Pengarah UPEN dan Setiausaha MMKN bertindak sebagai Setiausaha Bersama dan penglibatan Setiausaha MMKN sebagai penyelaras keputusan EXCO MTES di MMKN.

     

  2. Apakah terdapat sebarang perubahan?

    Ada berlakunya perubahan kepada keahlian EXCO MTES. Keahlian EXCO-MTES pada asalnya hanya terdiri daripada tiga (3) orang Ahli MMKN sahaja. Bermula pada Mac 2012, EXCO MTES telah dianggotai sepenuhnya oleh semua ahli MMKN.

  3. Bagaimanakah majlis ini dapat meningkatkan pencapaian ekonomi negeri?

     

    Sepanjang penubuhannya, pelbagai isu telah diberi tumpuan dan diselesaikan di mana fokus utama diberikan kepada projek-projek infrastruktur dan kemudahan awam, perkhidmatan kepada rakyat seperti pengurusan pelupusan sisa pepejal dan perkhidmatan awam, isu tempatan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti cerun, banjir dan penempatan setinggan, rumah ibadat bukan Islam dan pembentangan bajet bagi projek/program pembangunan juga permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS), berkaitan inventori dan status tanah-tanah kerajaan dan kelulusan projek utiliti seperti talian penghantaran elektrik.

     

    Perbincangan dan kelulusan di peringkat EXCO MTES bersama ketua-ketua jabatan dan agensi bagi sesuatu isu dan permasalahan telah memberi gambaran yang jelas kepada Kerajaan Negeri mengenai masalah di peringkat daerah dan PBT Negeri Selangor. Kesemuanya telah dipertimbangkan dan diselesaikan secara konsesi dan saksama demi peningkatan ekonomi dan pembangunan negeri yang bersepadu serta kepentingan rakyat Selangor.

     

    Pelbagai projek dan program yang dipertimbangkan mempunyai impak ekonomi kepada negeri dan manfaat kepada rakyat. Sebagai contoh, kelulusan ke atas pembangunan projek-projek infrastruktur dan prasarana yang lebih baik telah memberi impak positif kepada pembangunan sektor perkhidmatan dan perindustrian serta taraf sosio ekonomi rakyat. Begitu juga dengan kelulusan kepada pemajuan Kebenaran Merancang telah dapat memberikan hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Selain itu, penyelesaian isu-isu tanah seperti tukar syarat tanah dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) juga turut menyumbang kepada peningkatan hasil Kerajaan Negeri.

     

    Daripada perbincangan di peringkat EXCO MTES, Kerajaan Negeri dapat menggubal dasar baru atau memperbaiki dasar sedia ada dalam meningkatkan pencapaian ekonomi Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.