Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
160) SKIM MESRA USIA EMAS (SMUE)
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah permohonan yang telah diterima dan diluluskan semenjak SMUE diperkenalkan?
Jumlah pendaftaran keahlian Skim Mesra Usia Emas sehingga 31 Oktober 2014 adalah berjumlah 231,972 orang keseluruhannya. Sejumlah 38.19% adalah daripada kaum Melayu, 45.62% daripada kaum Cina, 15.34% daripada kaum India sementara 0.85% adalah daripada lain-lain.
Pecahan Pendaftaran SMUE Sehingga 31/10/2014
-
Nyatakan statistik terkini penerimaan skim ini mengikut kaum?
Sehingga 31 Oktober 2014, sejumlah RM135,026,500.00 telah dibayar kepada keluarga Ahli Skim Mesra Usia Emas yang telah meninggal dunia. Daripada jumlah tersebut, 40.30% (RM54,419,000.00) penerima adalah daripada kaum Melayu, 41.71% (RM56,326,000) penerima adalah daripada kaum Cina, 17.07% (RM23,045,500) adalah daripada kaum India dan 0.92% ((RM1,236,000) adalah daripada lain-lain.
-
Apakah usaha kerajaan negeri dalam memastikan semua rakyat Selangor mendapat pemahaman tentang SMUE ?
Usaha meningkatkan pemahaman dan kepekaan rakyat terhadap kewujudan program-program ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan
Untuk itu, pelbagai program taklimat, penerangan, pameran dan pendaftaran telah dilaksanakan oleh agensi yang berkaitan. Usaha ini turut dibantu oleh pelbagai agensi termasuklah Pejabat Daerah/Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Mereka bukan sahaja menyediakan ruang dan booth pameran kepada agensi berkaitan, malah turut menyediakan kemudahan kaunter penerangan dan pendaftaran untuk program-program MES kepada rakyat secara percuma di bawah kendalian PDT dan PBT yang berkenaan.
Taklimat dan Penerangan khusus berkaitan program-program MES juga turut diberikan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri, Penghulu, Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ahli-ahli Majlis agar mereka sentiasa bersedia untuk menyampaikan maklumat sebaik mungkin dari semasa ke semasa secara berterusan di kawasan masing-masing.
Di peringkat kawasan Dewan Negeri Selangor pula, Kerani DUN 3 telah diwujudkan yang mempunyai tugas khusus berkaitan pengendalian dan mempromosikan program-program MES bagi DUN tersebut. Mereka akan memastikan sasaran yang ditetapkan untuk setiap DUN dapat dicapai, terutamanya dalam memberikan penerangan di kawasan berkenaan dan memastikan tiada yang tercicir daripada mendapatkan maklumat hingga mampu meningkatkan penyertaan rakyat serta menambah pendaftaran peserta baru, menguruskan pembayaran semua skim yang diwujudkan di samping turut membantu untuk memberikan input bagi sebarang penambahbaikan.
Dalam masa yang sama, radio dan TV Web Selangor terus digunakan sepenuhnya bagi mewar-warkan program MES dan menyampaikan maklumat terkini yang berkaitan. Malahan, saluran radio swasta yang mesra kerajaan negeri juga turut dimanafaatkan. Sebagai contoh iklan dalam Sinar FM pada waktu puncak di mana pendengar akan disalurkan maklumat yang berkaitan secara berulang-ulang sepanjang perjalanan mereka ke tempat kerja dan pulang ke rumah.
Maklumat serta aktiviti berkaitan program MES juga disampaikan secara tetap melalui akhbar SelangorKini, Portal Merakyatkan Ekonomi Selangor, portal-portal rasmi kerajaan serta edaran-edaran kerajaan yang lain dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaiannya.
Tindakan proaktif juga telah dilakukan oleh agensi yang berkaitan dengan melakukan lawatan dan turun padang. Kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan termasuk persatuan penduduk, rumah-rumah kebajikan dan rumah-rumah ibadat juga sering dilakukan bagi memastikan rakyat di lokaliti-lokaliti sasaran mendapat maklumat dan boleh didaftarkan jika sekiranya mereka layak dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
Lawatan ke rumah orang tua-tua sebagai contoh, telah banyak memudahkan urusan mereka yang layak untuk didaftarkan sebagai ahli skim ini. Begitu juga lawatan ke pusat-pusat jagaan orang-orang kelainan upaya telah banyak membantu memudahkan urusan pendaftaran dilakukan dengan sebaiknya. Dengan cara ini, kekangan yang mereka hadapi seperti kesukaran untuk bergerak dan masalah-masalah logistik lain untuk ke pusat-pusat pendaftaran telah sedikit sebanyak dapat diatasi dan dipermudahkan.