Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

158) HORAS

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mohon nyatakan tentang projek HORAS.

    Berdasarkan data limpahan di River Gate SSP1/Baraj Bestari Jaya, menunjukkan penghasilan air di hiliran lembangan Sungai Selangor berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air terawat dan jika tidak digunakan sebagai sumber air, ia akan terbuang ke sungai dan laut serta boleh meningkatkan risiko banjir.

     

    Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk melaksanakan pembangunan penakungan air larian di hiliran sungai melalui konsep Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS). Sistem HORAS ini akan melibatkan penakungan stormwater dari Sungai Selangor di kawasan tailing ponds atau bekas lombong bijih Bestari Jaya (Batang Berjuntai) yang luas berdekatan dengan UNISEL dan loji rawatan air SSP 1, SSP 2 dan SSP 3.

     

    Pembangunan HORAS sebagai sumber air terawat untuk menakung air larian di hiliran sungai memberi kebaikan antaranya:-

     

    • Mengurangkan penggantungan sepenuhnya kepada pelepasan air dari empangan;

     

    • Mengelakkan pembaziran air yang dianugerahkan oleh Allah melalui hujan dengan pengurusan sumber air yang lestari;

     

    • Mengelakkan risiko banjir di penempatan kawasan hiliran

     

    Pembangunan HORAS ini akan dilaksanakan mengikut 2 fasa pembangunan seperti berikut:-

     

    Fasa Pertama           –          HORAS 600 Fasa Kedua  –   HORAS 3000

     

    HORAS 600 akan dibangunkan di kawasan bekas lombong di Kg Sungai Darah, Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor. HORAS 600 yang akan dilaksanakan ini bukan sahaja tertumpu kepada penakungan semasa hari hujan sebaliknya turut merangkumi penggunaan air dari akuifer dari pembinaan kolam takungan.

     

    Mengikut kajian yang telah dibuat, kawasan tapak projek HORAS 600 yang dikenal pasti akan melibatkan kawasan bekas lombong yang dianggarkan mempunyai keluasan sebanyak 235 hektar yang terletak di Kg Sungai Darah.

     

    Komponen utama yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan bagi tujuan melaksanakan projek HORAS 600 adalah:-

     

    • Kolam Takungan dengan keluasan 166 hektar hingga mencapai kedalaman 23.5 meter dari paras tanah bagi tujuan penyambungan kepada akuifer bawah tanah bagi mendapatkan kapasiti air sejumlah 600 JLH.

     

    • Kerja-kerja pelindungan tebing kolam takungan menggunakan geo- textiles;

     

    • Kerja-kerja pembaikan dan pelindungan sungai sejauh 3.8 km bagi tujuan menambah baik aliran sungai dengan kaedah melebar dan mendalamkan Sungai Selangor; dan

     

    1. Stesen mengepam air

     

    Pada ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor telah melantik Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) untuk melaksanakan kerja-kerja pengorekan bagi tujuan pembinaan Kolam Takungan. Kerajaan Negeri Selangor tidak membayar KSSB bagi kerja-kerja pengorekan yang dibuat sebaliknya nilai kerja tersebut di kontra dengan jumlah pasir yang akan dijual oleh KSSB. Kerja-kerja pengorekan oleh KSSB telah bermula semenjak 15 Mac 2014 dan dijangka akan siap pada 30 September 2015.

     

    Kos pembinaan bagi komponen-komponen lain di dalam pembangunan HORAS 600 ini hanya akan dapat ditentukan selepas tender bagi pelantikan kontraktor dimuktamadkan. Kerajaan Negeri Selangor akan melantik kontraktor-kontraktor bagi pembangunan HORAS 600 ini melalui kaedah tender terbuka dan dijangkakan tender tersebut akan dikeluarkan pada Januari 2015.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.