Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

81) KENAIKAN TAMBANG BAS SEKOLAH

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan bagi menangani kenaikan tambang bas sekolah?

    a dan b

     

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Desa telah melaksanakan program pemberian baucer tambang bas sekolah pada bulan Mac yang lepas. Di dalam program tersebut, baucer sebanyak RM20.00 telah diberikan kepada seramai 4,500 orang pelajar sekolah di seluruh daerah Hulu Langat yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM90,000.00. Pemberian baucer tersebut merupakan satu projek perintis yang dimulakan untuk membantu rakyat di Negeri Selangor, terutama keluarga yang kurang berkemampuan bagi menangani kenaikan kos sara hidup terutama tambang bas sekolah anak-anak. Walaupun jumlah bantuan yang diberikan bernilai RM20.00, rata-rata ibu bapa berpuas hati atas bantuan insentif yang diberikan kepada mereka terutama sekali untuk keluarga yang mempunyai bilangan anak yang ramai.

     

    Rentetan daripada kejayaan program pemberian baucer tambang bas sekolah yang telah dilaksanakan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menaikkan nilai baucer yang diberikan seperti mana program pemberian tambang bas sekolah yang diberikan kepada anak-anak pekerja ladang yang tinggal di estet. Walau bagaimanapun, pertimbangan tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan kewangan semasa Kerajaan Negeri.

     

    Namun begitu, di bawah portfolio Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri akan mengekalkan program berkaitan yang sedia ada iaitu Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah Kepada Anak-Anak Pekerja Ladang dan Bekas Pekerja Ladang demi mengurangkan beban penjaga mereka dalam menampung kos menghantar anak mereka ke sekolah. Sumbangan subsidi sebanyak RM300.00 ini diberikan kepada setiap anak-anak pekerja ladang yang membuat permohonan melalui Persatuan Ibu Bapa Dan Guru di sekolah masing-masing. Sumbangan RM300.00 yang diberi adalah untuk tempoh setahun bagi seorang pelajar.

     

  2. Apakah peranan kerajaan negeri bagi memastikan ibu bapa tidak terbeban dengan kenaikan tambang bas sekolah?

Lampiran

Tiada Lampiran.