Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

25) INDAH WATER KONSORTIUM (IWK)

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apa status terkini saman IWK terhadap kerajaan negeri ?

    Berdasarkan semakan yang dibuat dengan pihak Kamar Penasihat Undang- Undang Negeri Selangor, hanya terdapat satu sahaja kes saman yang melibatkan Indah Water Konsortium (IWK) terhadap Kerajaan Negeri pada tahun 2011. Kes saman tersebut adalah antara Indah Water Konsortium Sdn Bhd lawan Indra a/p Masalamani dan Setiausaha Kerajaan Selangor (Saman No. 72- 60-2011) yang difailkan pada 22 April 2011 di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor (selepas daripada ini dirujuk sebagai “kes saman tersebut”).

     

    Kes saman tersebut adalah berkaitan tuntutan bayaran bagi perkhidmatan pembetungan yang tertunggak kepada IWK sebanyak RM712.00 oleh Defendan Pertama yang merupakan pemilik berdaftar bagi premis yang beralamat di No. 3, Jalan Seroja 14, Taman Seroja, 43900 Sepang, Selangor. Setiausaha Kerajaan Selangor telah dinamakan sebagai Defendan Kedua kerana dikatakan juga sebagai pemilik berdaftar premis yang diduduki oleh Defendan Pertama.

     

    Berdasarkan semakan yang dibuat dengan Pejabat Tanah dan Galian Daerah Sepang, Selangor didapati bahawa premis tersebut telah didaftarkan sebagai hakmilik PN 43831 Lot 14945, Bandar Baru Salak Tinggi atas nama Indra a/p Masalamani dan K. Balakrishnan a/l Kanapathy yang merupakan suatu bangunan kediaman persendirian. Tanah tersebut merupakan tanah persendirian dan bukan tanah milik Kerajaan Negeri.

     

    Sehubungan itu, suatu Perintah di bawah Aturan 14 Kaedah 21(1), Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 telah difailkan di Mahkamah Majistret Sepang oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk mengetepikan kes saman tersebut terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri. Memandangkan bahawa perkara ini adalah antara IWK dan pemilik persendirian,

     

    seharusnya Kerajaan Negeri dikecualikan daripada menjadi pihak dalam kes saman tersebut dan pihak IWK tidak mempunyai kausa tindakan yang jelas terhadap Kerajaan Negeri.

     

    Lanjutan daripada itu, pihak IWK telah bersetuju untuk menarik balik tindakan terhadap Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menarik balik permohonan Perintah di bawah Aturan 14 Kaedah 21(1), Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 terhadap IWK. Kes saman tersebut telah pun diselesaikan pada 24 Ogos 2011 secara penarikan balik oleh IWK. Selain kes yang dinyatakan ini, pihak Kamar Penasihat Undang-Undang tidak mempunyai apa-apa rekod lain mengenai kes saman IWK terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

  2. Adakah kerajaan negeri masih menggunakan khidmat penuh IWK ?

    Ya, pihak IWK adalah satu-satunya pemberi perkhidmatan dalam hal-hal pembetungan di Malaysia termasuk di negeri

  3. Apa pelan tindakan kerajaan negeri dalam pertimbangan untuk menambah perkhidmatan pengurusan sisa kumbahan dalam Negeri Selangor ?

    Kerajaan Negeri memberikan komitmen penuh dan terus bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan pengurusan sisa kumbahan sentiasa diurus dengan baik dan dinaiktaraf mengikut keperluan semasa selaras dengan pertumbuhan perbandaran. Pada ketika ini, projek-projek pembetungan di bawah inisiatif Greater Kuala Lumpur / Klang Valley yang sedang giat dilaksanakan dengan pembiayaan oleh Kerajaan

     

    Secara umum, projek-projek tersebut melibatkan pembinaan loji-loji serantau yang moden dan berkapasiti besar serta pembinaan rangkaian paip pembetungan bagi menampung kawasan perkhidmatan yang luas. Dengan pembinaan loji-loji serantau ini, loji-loji kecil yang rata-rata terletak di kawasan- kawasan kediaman dapat disambungkan dan ditutup dan ini akan memberi lebih keselesaan kepada orang ramai. Loji-loji serantau yang moden tersebut juga mampu merawat sisa kumbahan bagi mencapai piawaian efluen terkini seperti yang telah digariskan oleh Jabatan Alam Sekitar sekaligus memastikan air sungai dan pantai tidak akan tercemar serta sumber air minuman juga selamat dan terpelihara.

     

    Antara projek-projek pembetungan yang sedang dan akan dilaksanakan adalah projek Kajang II, Langat Centralised Sewage Treatment Plant (CSTP) di sebahagian Lembangan Sungai Langat, Lot 130 Klang, Upper Kerayong, rangkaian paip pembetungan di Petaling Jaya, pembinaan loji serantau dan pembetungan di Puchong.

Lampiran

Tiada Lampiran.