Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
230) MASALAH TOL DAN PELANTAR IKAN
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah dasar terkini Kerajaan Negeri khususnya tentang kelulusan tanah-tanah TOL ?
Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan dan menambah baik proses kelulusan tanah-tanah TOL dengan mengekalkan pekeliling dan amalan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dalam usaha untuk membantu pengeluaran tanah-tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
i) Tapak Kediaman :
Kerajaan Negeri Selangor telah memaklumkan permohonan Lesen Pendudukan Sementara bagi tujuan kediaman ke atas tapak diduduki bagi tahun 2013 dan kuasa melulus diturunkan kepada Pentadbir Tanah Daerah melalui Arahan PTGS Bil.3/2013 (seperti di lampiran).
ii) Papan Iklan :
Berdasarkan Pekeliling Bil.2/2013 (seperti di lampiran)
iii) Pondok Pengawal :
Berdasarkan Pekeliling Bil.1/2013 (seperti di lampiran)
iv) Pekeliling PTGS Bil.7/2011 :
Permohonan LPS ke atas tanah kerajaan mengikut data yang ada, tidak ada lagi kelulusan TOL ke atas kegunaan pelantar ikan. Kewujudan yang ada adalah kegunaan persendirian secara tidak sah/ tidak ada kelulusan TOL.
-
Sila senaraikan jumlah pelantar ikan yang dikenakan tindakan saman oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor angkara tidak mempunyai kelulusan TOL.
Tindakan yang diambil oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 kerana tidak mempunyai Kebenaran Bertulis bagi tujuan pembinaan jeti dan bukanlah kerana tidak mempunyai TOL. Ini terpakai bagi mana-mana pembinaan struktur jeti baru. Untuk makluman, keperluan untuk memperolehi TOL adalah merupakan salah satu syarat Kebenaran Bertulis LUAS. Ianya adalah penting untuk tujuan penyelarasan dengan Pejabat Daerah/Tanah terutamanya bagi mengelakkan Kebenaran Bertulis LUAS dikeluarkan terhadap pendudukan di atas tanah Kerajaan Negeri secara haram.
Sebanyak 7 buah jeti telah dikenakan tindakan oleh LUAS di Negeri Selangor, mengikut daerah seperti berikut :-
- Sabak Bernam – 5 buah
- Kuala Langat – 2 buah
- Lain-lain Daerah – 0
- Untuk 7 jeti tersebut, 13 notis, 3 kompaun dan 3 surat arahan perobohan telah dikeluarkan di bawah peruntukan :-
- Seksyen 43(1) Enakmen LUAS 1999 iaitu kegagalan memperolehi Kebenaran Bertulis LUAS bagi pembinaan jeti – 9 notis dan 1 kompaun;
- Seksyen 70(1) Enakmen LUAS 1999 iaitu kegagalan memperolehi kebenaran LUAS bagi pembinaan struktur dalam jarak 50 meter dari tebing sungai – 2 notis;
- Seksyen 100(1) Enakmen LUAS 1999 iaitu arahan pemberian maklum – 1
- notis;
- Seksyen 50(2) Enakmen LUAS 1999 iaitu arahan perobohan struktur
- aktiviti pengubahan sumber (i.e. jeti) – 3 surat arahan;
- Seksyen 50(3) Enakmen LUAS 1999 iaitu kegagalan mematuhi surat arahan perobohan – 2 kompaun; dan
- Peraturan 28(1)(a) Peraturan-Peraturan Navigasi Jalan Air Pedalaman (Negeri Selangor) 2012 iaitu kegagalan mendapatkan lesen navigasi jalan air pedalaman – 1 notis
- Untuk makluman juga, satu peraturan berkenaan aktiviti Pengubahan Sumber akan dikuatkuasakan oleh LUAS setelah diwartakan kelak.
-
Sila nyatakan apakah kaedah menang Ðmenang yang bakal dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan pelantar ikan di kawasan Bagan Negeri Selangor ?
Semenjak April 2006, urusan pemberian lesen Kebenaran Bertulis Aktiviti Jeti diuruskan oleh LUAS dengan menguatkuasakan peruntukan Enakmen LUAS 1999. Semua urusan berkaitan pengurusan jeti ini dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor yang turut dianggotai oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Laut, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, Jabatan Alam Sekitar Selangor, Lembaga Pelabuhan Klang, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, serta jabatan-jabatan lain yang berkaitan. Bermula September 2008, jeti-jeti komersial di dalam had pelabuhan dikawalselia oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sementara diluar kawasan had pelabuhan masih di bawah kawaseliaan LUAS.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 15/2012 yang bersidang pada 26 April 2012 memutuskan “untuk menangguhkan permohonan bagi menaiktaraf jeti pendaratan ikan di Negeri Selangor bagi Jabatan Perikanan Selangor membuat kajian ke atas keutamaan dan keperluan jeti-jeti di Daerah Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Kajian tersebut perlu mengambil kira antara lain mapping penempatan dan piawaian penyeragaman saiz jeti. Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Selangor diminta untuk menyelaraskan kerja-kerja mapping tersebut”.
Selaras dengan keputusan tersebut, inventori dan pengumpulan data telah dilaksanakan. Surat kepada semua Pentadbir Tanah dan Daerah untuk memberikan maklumat senarai tanah milikan dan Lesen Menduduki Sementara (LMS) yang diberikan atas tujuan pembinaan jeti dan pelantar ikan. Surat memohon senarai dan lokasi jeti juga telah dikeluarkan kepada Jabatan Perikanan Selangor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Selangor bagi tujuan yang sama. LUAS juga telah menjalankan inventori di lapangan selain pengumpulan data secara ‘desktop’.
Antara permasalahan yang dikenalpasti adalah semua jeti yang telah dibina tidak mempunyai LMS dan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) di mana kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan merupakan syarat utama bagi Kebenaran Bertulis Aktiviti Jeti daripada LUAS.
Maklumat inventori jeti nelayan yang lengkap bagi seluruh Negeri Selangor akan dibentangkan kepada pihak Kerajaan Negeri bagi mendapatkan keputusan dasar mengenai hala tuju pengurusan jeti dan tindakan lanjut ke atas jeti sedia ada. LUAS juga dalam usaha untuk menyediakan garis panduan pengurusan jeti melibatkan semua aspek saiz dan rekabentuk untuk digunapakai pada masa hadapan.