Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
227) KESESAKAN LALU LINTAS DI PERSEKITARAN LEBUH RAYA LDP DAN KESAS
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ng Sze Han
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan berapa persimpangan baru yang telah dirancangkan di Lebuhraya LDP dan KESAS?
Hasil daripada maklumat yang diperolehi, pihak konsesi Lebuhraya LDP dalam perancangan bagi membina enam (6) persimpangan bertingkat baru di Kelana Jaya, PJS7 & PJS9, IOI (persimpangan bertingkat pusingan-U), Taman
Perindustrian Puchong, dan Kg. Bharu Puchong. Manakala pihak konsesi Lebuhraya KESAS memaklumkan tiada sebarang cadangan bagi membina persimpangan baru.
-
Apakah kedudukan terkini untuk rancangan persimpangan baru ke Bukit Tandang (Puchong Jaya) dari lebuhraya KESAS?
Pihak konsesi Lebuhraya KESAS tidak mempunyai sebarang rancangan bagi membina persimpangan baru ke Bukit Tandang (Puchong Jaya) dari Lebuhraya KESAS.
-
Apakah langkah-langkah negeri sekiranya syarikat konsesi lebuh raya tidak memberi kebenaran untuk membina persimpangan baru yang amat diperlukan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas setempat?
Mengikut Akta 231 (Perbadanan 1980), pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempunyai kuasa dalam membina persimpangan baru selain menyelia dan merekabentuk, pembinaan, pengawalan, mengenakan dan mengutip tol, dan membuat peruntukan-peruntukan berkenaan dengan perkara yang berkaitan. Namun selepas Dasar Penswastaan Negara, peranan pihak LLM telah berubah kepada satu badan yang bertanggungjawab mengawalselia pembangunan dan pengurusan lebuhraya bertol di Malaysia.
Oleh yang demikian, jika sekiranya terdapat permohonan bagi membina persimpangan baru, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pihak LLM bagi melihat kesesuaian sama ada persimpangan tersebut dapat mengurangkan kesesakan lalulintas kawasan setempat. Antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan :-
- mengarahkan pihak konsesi lebuhraya bagi membentangkan cadangan persimpangan yang dirancang.
- memanggil semua agensi / jabatan teknikal yang berkaitan bagi memberikan komen dan ulasan terhadap persimpangan tersebut.