Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
221) PELUPUSAN SAMPAH MODEN DAN SISA PEPEJAL
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri dalam isu pelupusan akhir sisa pepejal?
Pihak Kerajaan Negeri sedang merancang untuk mewujudkan sistem pelupusan sisa pepejal yang lebih baik, bersepadu dan terancang. Tapak pelupusan sanitari sedia ada akan disokong dengan sistem sokongan seperti “Material Recovery Facility” (MRF), Loji Pengkomposan atau “Waste to Energy Plant”. Kebanyakan sistem tersebut merupakan kaedah mengitar semula sisa buangan, penghasilan baja serta sumber tenaga elektrik. Sistem sokongan ini bukan sahaja dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan malah membantu meningkatkan ekonomi serta peluang pekerjaan di Negeri Selangor.
-
Adakah pusat incinerator Ð pusat pelupusan sampah moden akan ditubuhkan di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor telah pun melakukan kajian teknikal dan kewangan serta kesesuaian untuk membangunkan loji incinerator atau seumpamanya bagi melupuskan sisa pepejal. Kajian mendapati perbelanjaan modal dan kos operasi adalah tinggi. Kerajaan sedang memperhalusi sistem tersebut. Beberapa tempat sesuai telah dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan loji incinerator seperti di tapak-tapak pelupusan sampah yang telah ditutup serta kawasan-kawasan perindustrian. Kerajaan Negeri menyedari akan kepentingan teknologi moden ini memandangkan kaedah pelupusan secara sanitari melibatkan penggunaan tanah yang agak besar serta masalah kekurangan tanah di Negeri Selangor di masa hadapan.
-
Di mana lokasi itu dan berapakah anggaran bagi perkara (b)?
Loji Incinerator boleh dibangunkan di mana-mana kawasan mengikut kesesuaian sumber sisa pepejal yang akan dilupuskan. Namun begitu ia tertakluk kepada kelulusan Jabatan Alam Sekitar, iaitu hasil daripada kajian “Detail Environment Impact Accessment” (DEIA) yang dijalankan. Keluasan tanah yang diperlukan adalah sejumlah 20-30 ekar. Anggaran kos bagi sebuah incinerator berkapasiti 1,000tan sehari adalah sebanyak RM800juta hingga RM1billion dengan anggaran yuran “tipping” sebanyak RM150 – RM200 per tan.