Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
165) KEMUDAHAN ASAS
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah kerja-kerja menaiktaraf persimpangan antara Jalan Cemara 1 dengan Jalan Cheras Hartamas 4 dilaksanakan?
Kerja-kerja menaiktaraf persimpangan antara Jalan Cemara 1 dengan Jalan Cheras Hartamas 4 telah disyaratkan kepada pembangunan Tetuan BHL Gemilang Sdn Bhd (Dahulu dikenali sebagai Jaguh Gemilang Sdn Bhd). Pelan Infrastruktur bagi pembangunan ini telah diluluskan pada 27hb Jun 2012 melalui Mesyuarat Jawatankuasa OSC MPAJ, Bil 13/2012 bertarikh 22hb Jun 2012. Kerja-kerja menaiktaraf persimpangan akan dilaksanakan bersekali dengan pembangunan berkenaan seperti syarat-syarat kelulusan dalam pelan Kebenaran Merancang.
-
Apakah tindakan susulan pemantauan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri selepas kerja pembaikan cerun dilakukan di Pangsapuri Mutiara, Taman Bukit Permai dalam bulan April 2013?
Bagi cerun yang telah disenaraikan sebagi cerun berisiko ianya dimasukkan di dalam senarai inventori cerun yang dipantau oleh Bahagian Cerun, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Ianya telah dijadikan sebagai S.O.P dan telah di ISO oleh MPAJ. Lokasi yang dinyatakan di atas iaitu di Pangsapuri Mutiara adalah termasuk dalam senarai lokasi yang dipantau oleh MPAJ secara berkala dan berjadual. Jika terdapat sebarang perubahan dan tanda awal kegagalan erun, maka MPAJ akan melaksanakan pembaikan bergantung kepada kemampuan kewangan majlis.
Setakat ini tiada kerosakan ditemui terhadap kerja yang telah dilaksanakan.
-
Apakah mekanisme Kerajaan Negeri untuk memastikan tekanan air cukup untuk bekalan air di DUN Teratai?
Kawasan DUN Teratai mendapat bekalan air dari Rumah Pam Wangsa Maju. Kejadian henti tugas di Rumah Pam Wangsa Maju adalah berlaku kerana SYABAS tidak berkemampuan dan tidak kompeten di dalam mengendalikan rumah pam tersebut. Pada masa yang sama, SYABAS juga tidak mempunyai kakitangan yang mahir dalam mengendalikan Rumah pam Wangsa Maju hingga menyebabkan kerapnya berlaku henti tugas Rumah Pam tersebut sehingga menyebabkan gangguan bekalan air termasuk kawasan Dun Teratai.
Penyelesaian menyeluruh ke atas semua masalah yang menimpa penduduk DUN Teratai ini adalah melalui penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor melalui Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Selain dari itu, beberapa projek sumber air tambahan telah pun dilaksanakan bagi memastikan sumber bekalan air adalah mencukupi, antaranya adalah
seperti berikut:-
- Loji Rawatan Air Sg Labu / KLIA Alternative Water Supply Scheme
Projek ini dioperasikan oleh Konsortium Air Selangor Berhad (KASB) bermula pada 01 Julai 2012 dan boleh mengeluarkan air sebanyak 105 JLH.
- Membaik pulih Kapasiti Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1)
Kerja-kerja membaik pulih ini telah siap sepenuhnya pada 31 Mac 2013 dan kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1) dapat ditingkatkan pengeluaran dari 760 JLH kepada 950 JLH, iaitu peningkatan sebanyak 190 JLH.
- Projek Mitigasi 2
Untuk menambah baik sistem agihan air bagi membolehkan air terawat diagihkan kepada pengguna. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2015.
Pada masa yang sama juga, Kerajaan Persekutuan telah memberikan bantuan kewangan kepada SYABAS untuk mengatasi masalah Rumah Pam Wangsa Maju. Dijangkakan kerja-kerja menaik taraf Rumah Pam ini akan siap sepenuhnya dalam bulan Februari 2014. Dengan siapnya kerja-kerja menaik taraf tersebut, ia dapat meningkatkan kapasiti kadar pengepaman sedia ada di rumah pam dan dengan ini tekanan air di kawasan DUN Teratai dapat dipulihkan.
Selain dari pelaksanaan projek-projek di atas, Kerajaan Negeri Selangor juga menggesa agar SYABAS dapat mengurangkan kadar NRW. Di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, SYABAS menjanjikan penurunan NRW kepada 20% pada tahun 2011 dengan perbelanjaan sebanyak RM784.1 juta. Namun kadar NRW pada tahun 2011 yang dapat dicapai oleh pihak SYABAS adalah melebihi 32% dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM995.70 juta, jauh melebihi amaun yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi. (Setakat April 2013, kadar NRW ditunjukkan sebanyak 35%)
Ini membuktikan bahawa walaupun SYABAS telah diberikan peruntukkan yang jauh melebihi amaun yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, namun SYABAS masih gagal untuk menurunkan NRW kepada kadar yang sepatutnya. Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas. Kapasiti 663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.