Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
144) MENUNAIKAN MANIFESTO
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perincian manifesto Pakatan untuk di laksana kerajaan negeri setelah PRU-13?
Untuk makluman dewan, Pakatan Rakyat mempunyai manifesto di peringkat pusat dan di peringkat negeri. Di peringkat negeri, Manifesto Pakatan Rakyat Selangor mempunyai 4 teras iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, Persaudaraan Rakyat Menerusi aktiviti Keagamaan Dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat. Kesemua kandungan manifesto tersebut kita rangka setelah mengambil kira faktor keupayaan semasa kerajaan negeri dan faktor implikasi kewangan. Untuk melihat penuh kandungan Manifesto Pakatan Rakyat Selangor tersebut, saya syorkan untuk Yang Berhormat Sungai Burong semak di portal rasmi kerajaan negeri selangorku.com di bawah tajuk Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat, 2013. Usah khuatir Yang Berhormat, seluruh kandungan manifesto tersebut original, bukan copycat daripada mana-mana manifesto orang lain. Ianya juga boleh di muat turun jika Yang Berhormat berminat untuk analisis manifesto tersebut satu persatu. Baiklah, di peringkat kerajaan negeri, kita bertekad untuk melaksanakan kesemua perincian manifesto Pakatan Rakyat Selangor yang telah diluncurkan sebelum PRU-13 yang lalu. Tambahan pula manifesto tersebut telah dipersetujui oleh ketua ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat Selangor dan telah pun ditandatangani oleh mereka. Justeru menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk melaksanakan kesemua perincian dalam manifesto tersebut.
-
Apakah penambahan manifesto berbanding PRU-12?
Antara pertambahan manifesto PRU-13 berbanding PRU-12 ialah;
- Di samping mengekalkan Air Percuma sebanyak 20 meter padu, Pakatan Rakyat Selangor juga bertekad untuk membuka peluang kepada rakyat Selangor memiliki saham air Selangor.
- Selain itu, berhubung dasar perumahan, kita telah mendapat rentak untuk memperkasakan dan memperbanyakkan lagi perumahan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat Selangor. Untuk makluman dewan, Skim Perumahan Pekerja Ladang yang kita laksanakan sebelum ini tidak termasuk dalam kandungan manifesto pada tahun 2008. Namun kita usahakan juga pada sesi yang lalu setelah melihat pada keperluan yang sangat-sangat mendesak. Justeru setelah skim ini berjalan, kita lihat ianya mampu dikembangkan lagi untuk penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat. Kerana itulah dalam manifesto 2013, kita bertekad, tidak hanya berpuas hati dengan pertambahan jumlah perumahan mampu milik sahaja, bahkan mewujudkan pula Skim Perumahan Rakyat khusus untuk pembeli yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Insya-Allah, ianya bukan kerja mudah, tapi kami bertekad untuk cekal merealisasikannya.
- Sebenarnya banyak lagi pertambahan yang kita senaraikan dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor kali ini berbanding 2008. Antaranya menubuhkan “Hab Halal” di peringkat negeri, menubuhkan Perbadanan Keusahawanan Negeri Selangor, mewujudkan Tabung Pemberdayaan Wanita Selangor & Tabung Dialisis Rakyat Selangor yang mungkin menelan belanja kasar sekitar RM60juta. Malah tidak ketinggalan, kita juga berhasrat untuk meluluskan pembinaan tiga Kompleks Islam Bersepadu meliputi masjid, pusat pendidikan dan pusat komuniti. Dan untuk segala maklumat yang lebih detail, saya syorkan sekali lagi untuk Yang Berhormat Sungai Burong untuk buat perbandingan sendiri dalam 2 manifesto berkenaan. Insya-Allah, kita sedia untuk disemak atas setiap usaha yang kita lakukan. Keyakinan ini berasas memandangkan pada penggal yang lalu kita berjaya lunaskan sebanyak 96% kandungan manifesto 2008 dan pertambahan 6 lagi dasar, skim dan program yang berjaya kita laksanakan walaupun keenam-enam perkara tersebut tidak dimasukkan dalam manifesto pada tahun 2008. Justeru tohmahantohmahan yang menuduh kita tidak laksanakan kandungan manifesto 2008 merupakan suatu pembohongan yang mahu mengelirukan rakyat di negeri ini.