Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

122) LRT KELANA JAYA KE PUTRA HEIGHT

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Perincikan status terkini pembinaan sambungan LRT Kelana Jaya ke Putra Heights.

    Status pembinaan projek sambungan LRT Kelana Jaya sehingga kini adalah 80% siap. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri terutamanya di Stesen 11 dan 12 yang berhampiran Taman Subang Alam, Seksyen 27 dan Putra Heights.

  2. Apakah kerajaan negeri maklum tentang pampasan yang perlu dibayar kepada mereka yang terpaksa berpindah dan berapakah jumlahnya?

    Tiada pampasan yang perlu dibayar kerana tiada sebarang pengambilalihan rumah kediaman mahupun bangunan yang perlu diroboh untuk pembinaan projek sambungan LRT Kelana Jaya ke Putra Heights.

  3. Siapakah sebetulnya wakil kerajaan negeri yang memantau projek ini kerana aduan penduduk setempat banyak aspek keselamatan diabaikan oleh kontraktor?

    Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan wakil Kerajaan Negeri dalam memantau projek dan menyelesaikan aduan yang diterima daripada mana-mana pihak berhubung projek sambungan berkenaan. Dalam isu ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan sedia membantu menjadi perantara melalui pelbagai jabatan masingmasing.

  4. Huraikan apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan dalam menangani aduan penduduk sekitar.

    Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi memastikan semua aduan penduduk sekitar ditangani dengan segera. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri adalah :-

    1. melantik perunding bebas untuk memberi pandangan (second opinion) serta cadangan bagi menyelesaikan isu ini dengan mengkaji dan meneliti keadaan permukaan tasik dan memastikan struktur tanah berkenaan kukuh untuk aktiviti pembinaan tiang dan cerucuk serta kerja-kerja yang berkaitan dengannya.
    2. menurunkan paras air tasik kepada paras tanah sedia ada bagi mengukuhkan keadaan tebing tasik berkenaan serta mengarahkan agar pihak pemaju membina struktur longkang (spillway) kekal yang lebih besar bagi memudahkan pengaliran keluar air tasik.
    3. mengadakan beberapa sesi perbincangan dan pameran kepada pihak penduduk mengenai projek ini yang boleh diperolehi dari “Project Information Centre” yang bertempat di Aras CP2, Sunway Pyramid bermula 18 Februari 2013.
    4. mengarahkan pihak pemaju agar mengemaskini maklumat kemajuan projek di laman sesawang http://www.lrtextension.com untuk kemudahan orang awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.