Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

76) PERKEMBANGAN EKONOMI

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah indikator penting perkembangan ekonomi negeri 2013?

    Dalam menilai pertumbuhan ekonomi sesebuah negara atau negeri, indikator ekonomi makro memainkan peranan yang penting sebagai asas unjuran pencapaian keseluruhan sesebuah negeri. Mengambil kira faktor tersebut, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Selangor pada tahun 2012 dicatatkan sebanyak 6.1 peratus. Peratusan KDNK ini adalah berdasarkan pengiraan sektor-sektor dalam KDNK yang terdiri daripada Sektor Utama Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian, Sektor Perindustrian – Pembuatan dan Pembinaan, serta Sektor Perkhidmatan – Utiliti, Pengangkutan, Penyimpanan & Komunikasi, Perdagangan Borong & Runcit, Penginapan dan Restoran, Kewangan & Insurans, Hartanah dan Perkhidmatan Perniagaan, Perkhidmatan Kerajaan dan lain-lain.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri Selangor juga mengenal pasti bahawa keadaan sosial – ekonomi rakyat negeri Selangor juga menjadi salah satu indikator penting dalam perkembangan ekonomi Negeri dengan memberi penekanan kepada tahap keselesaan yang dinikmati oleh rakyat. Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif bagi membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar secara serius. Inisiatif penyediaan jaringan keselamatan (safety net) seperti bantuan memulakan perniagaan akan dapat membantu meringankan kos sara hidup yang semakin tinggi yang dialami rakyat.

  2. Apakah pencapaian utama ekonomi Selangor sejak lima tahun pentadbiran kerajaan Pakatan?

    Kemajuan Negeri Selangor terus berkembang pesat ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi. Sejak tahun 2008, purata pertumbuhan ekonomi negeri bagi tahun sehingga 2012 adalah pada kadar 5 hingga 6%. Ini membuktikan negeri Selangor berada dalam landasan yang betul dalam menjadi pemacu kepada ekonomi Malaysia dengan menyumbangkan kadar peratusan KDNK tertinggi untuk negara Malaysia berbanding dengan negeri yang lain. Pertumbuhan KDNK Selangor bermula dari tahun 2008 hingga 2012 menunjukkan peningkatan sekitar 5.0 peratus hingga 6 peratus kecuali pada tahun 2009 bilamana penguncupan ekonomi dicatatkan pada kadar -1.6% akibat ketidakstabilan ekonomi global terutama di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Kesatuan Eropah. Sebagai rekod, Negeri Selangor terus kekal menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia melebihi 20% dari tahun 2008 hingga 2012. Hal ini membuktikan kecekapan tadbir urus (good governance) dan pengurusan kewangan yang cemerlang diamalkan Kerajaan Negeri.

    Pertumbuhan ekonomi negeri yang stabil dan konsisten juga didorong oleh nilai pelaburan domestik dan asing (DDI dan FDI) yang masuk ke dalam negeri Selangor. Mengikut rekod yang diberikan MIDA, sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Selangor menduduki kedudukan pertama dari segi jumlah pelaburan masuk ke dalam negeri dengan nilai sebanyak RM50 billion sepanjang 5 tahun tersebut. Ini membuktikan bahawa Selangor terus maju berbanding terdahulu dan berbanding negeri-negeri lain.

  3. Apakah dasar dan hala tuju ekonomi negeri respons terhadap kelembapan ekonomi dunia?

    Negeri Selangor tidak terlepas dari perubahan ekonomi dunia dan negara di mana berdasarkan prestasi di peringkat nasional, KDNK Malaysia pada tahun 2009 iaitu semasa berlakunya ketidakstabilan ekonomi global terutama di

    Amerika Syarikat dan kebanyakan negara kesatuan Eropah adalah sebanyak 1.6 peratus menyebabkan KDNK negeri Selangor menguncup kepada -1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Menjadi negeri termaju di Malaysia, urusan perdagangan antara Selangor dengan negara – negara ekonomi dunia yang sebelum ini rancak telah sedikit tergendala tempias dari krisis ekonomi global. Peristiwa kegawatan ekonomi global yang dialami pada awal tahun 2009 dan 2010 memberi pengalaman berharga kepada pentadbiran Kerajaan Negeri dalam menghadapi krisis ekonomi yang mungkin berlaku. Dengan pelaksanaan inisiatif dan langkah – langkah proaktif seperti penubuhan Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja Selangor, Selangor Retrenchment Helpline serta Pasukan Petugas Khas Pemudahcara (PEMUDAH) Selangor berjaya membawa negeri ini keluar dari krisis ekonomi global dan terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri dengan cekap dan berjaya. Mengambil kira kejayaan daripada pengalaman tersebut, Kerajaan Negeri akan sentiasa dalam keadaan siap siaga dan bersedia bagi melaksanakan dasar – dasar serta polisi – polisi yang efektif dan berkesan bagi menghadapi sebarang krisis ekonomi global.

Lampiran

Tiada Lampiran.