Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

69) RUMAH MAMPU MILIK

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah unit Rumah Mampu Milik yang telah dibina oleh kerajaan dan nyatakan lokasinya.

    Untuk makluman Y.B, konsep perumahan mampu milik mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri pada Tahun 2011. Sehingga kini, hanya terdapat dua projek perumahan mampu milik sahaja yang telah dibina oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu Bukit Botak di Selayang dan Seksyen 3 di Bandar Baru Bangi.

    Untuk makluman Y.B juga, projek perumahan mampu milik Bukit Botak, Selayang mempunyai 1,422 unit dengan harga jualan RM99,000 seunit berkeluasan 850 kaki persegi hingga 2,200 kaki persegi. Bagi projek di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi pula, jumlah unit yang dibina adalah 124 unit berkeluasan di antara 700 hingga 800 kaki persegi dan dijual pada harga RM60,000 hingga RM90,000 seunit.

  2. Berapakah jumlah unit yang akan dibina pada 5 tahun yang akan datang dan berapa unit yang dicadangkan di kawasan Balakong?

    Untuk makluman Y.B, Kerajaan Negeri bersama-sama beberapa pemaju swasta telah membuat perancangan yang komprehensif mengenai keperluan perumahan mampu milik dalam usaha untuk memastikan rakyat Selangor mampu memiliki rumah idaman mereka. Oleh itu, pembinaan rumah mampu milik bukan hanya terhad kepada pihak kerajaan sahaja malah pihak swasta juga turut dipertanggungjawabkan.

    Untuk makluman Y.B juga, Kerajaan Negeri melalui PKNS dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah mensasarkan pembinaan rumah mampu milik sebanyak 11,356 unit menjelang tahun 2021. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan 24 projek kepada pihak pemaju swasta untuk membina rumah mampu milik. Walaubagaimanapun, jumlah unit yang perlu dibina tidak dapat dikemukakan disebabkan pemaju belum mengemukakan pelan cadangan pembangunan serta pelan Kebenaran Merancang kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri masih belum mempunyai perancangan khusus bagi penyediaan rumah mampu milik di kawasan Balakong. Namun begitu, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pentadbir Tanah Daerah (PTD) ketika ini masih lagi dalam proses untuk mengenalpasti tanahtanah milik Kerajaan Negeri yang strategik untuk dibangunkan dengan Projek Perumahan Mampu Milik Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.