Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

31) RIZAB NEGERI MELEBIHI RM2.62 BILION

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana dan apakah sumber-sumber yang membolehkan rizab negeri mencatat lebih RM2.62 bilion pada akhir tahun 2012?

    Kumpulan Wang Disatukan terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2012 adalah meningkat sebanyak 34.74% iaitu daripada RM1,944.00 juta pada tahun 2011 kepada RM2,619.44 juta pada tahun 2012. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh lebihan terimaan hasil berbanding perbelanjaan pada tahun 2012 berjumlah RM268.10 juta dan peningkatan terimaan amanah sebanyak RM386.45 juta. Peningkatan ketara direkodkan pada kutipan hasil premium geran tanah sebanyak RM869.91 juta pada tahun 2012 berbanding RM533.04 juta pada tahun 2011 dan terimaan bersih Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri sebanyak RM311.43 juta pada tahun 2012.

  2. Apakah pecahan-pecahan rizab RM2.62 bilion ini dalam bentuk tunai, bukan tunai dan lain-lain?

    Kumpulan Wang Disatukan yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan adalah dipegang oleh wang tunai dan pelaburan. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2012, Wang Awam Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Wang Tunai dan Pelaburan adalah masing-masing berjumlah RM392.09 juta dan RM2,227.35 juta. Baki Wang Tunai tahun 2012 adalah terdiri daripada Wang Tunai Dalam Tangan berjumlah RM3.19 juta, Wang Tunai Dalam Perjalanan berjumlah RM1.40 juta dan Wang Tunai Dalam Bank berjumlah RM387.50 juta (Akaun Semasa sebanyak RM52.50 juta dan Deposit Dalam Negeri/Simpanan Tetap dengan tempoh kurang tiga bulan sebanyak RM335.00 juta. Manakala Pelaburan yang berjumlah RM2,227.35 juta adalah terdiri daripada Deposit Dalam Negeri/Simpanan Tetap melebihi tempoh tiga bulan berjumlah RM1,605.00 juta. Jaminan Bank Pertanian Malaysia berjumlah RM10 juta, pelaburan Tabung Warisan Negeri Selangor dan Tabung Amanah Bencana Alam berjumlah RM366.94 juta dan juga saham berjumlah RM245.41 juta.

  3. Berapakah unjuran rizab negeri pada akhir tahun 2013?

    Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor pada akhir tahun 2013 diunjurkan akan mengalami penurunan sekitar 17.80% berikutan berlakunya peningkatan belanjawan tambahan bagi tahun 2013 terutamanya bagi penambahan siling Kumpulan Wang Amanah Pinjaman kepada Badan-badan Berkanun dan Badan Lain yang bertujuan pemberian pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.