Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

22) RUMAH MAMPU MILIK

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Lee Chin Cheh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah rumah mampu milik telah dibina oleh Kerajaan Negeri Selangor atau melalui agensi-agensinya dalam setiap tahun sejak 2008 sehingga 2012?

    Untuk makluman Y.B, konsep perumahan mampu milik mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada Tahun 2011. Keadaan ini timbul akibat daripada tindakan proaktif kerajaan negeri untuk mengkaji semula syarat- syarat pembangunan sedia ada seperti pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, 20 peratus rumah kos sederhana rendah dan 10 peratus rumah kos sederhana yang telah diguna pakai sejak tahun 2000 lagi supaya ianya masih relevan untuk dipraktikkan berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa. Sehubungan itu, sehingga kini, hanya terdapat dua projek perumahan mampu milik sahaja yang telah siap dibina dan telah ditawarkan kepada pembeli yang layak iaitu Bukit Botak di Selayang dan Seksyen 3 di Bandar Baru Bangi.

    Untuk makluman Y.B juga, projek perumahan mampu milik Bukit Botak, Selayang mempunyai 1,422 unit dengan harga jualan RM99,000 seunit berkeluasan 850 kaki persegi hingga 2,200 kaki persegi. Bagi projek di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi pula, jumlah unit yang dibina adalah 124 unit berkeluasan di antara 700 hingga 800 kaki persegi dan dijual pada harga RM60,000 hingga RM90,000 seunit. Kedua- dua projek tersebut telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

  2. Berapakah jumlah rumah mampu milik akan dibina dan dicadang dibina oleh Kerajaan Negeri Selangor atau agensi-agensinya mengikut kawasan pentadbiran setiap PBT dalam tahun 2013 sehingga 2015?

    Untuk makluman Y.B, Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah merancang serta mensasarkan pembinaan rumah mampu milik sebanyak 11,356 unit menjelang tahun 2021. Pembinaan rumah mampu milik ini akan dibina secara berfasa iaitu Fasa 1 akan dibina dalam tahun 2010 hingga 2013 adalah sebanyak 1,775 unit manakala Fasa 2 sebanyak 9,581 unit yang akan dibina dalam tahun 2014 hingga 2021. Pecahan perincian projek mengikut fasa pembangunan di kawasan pentadbiran PBT adalah seperti berikut : i) Fasa 1 (2010 – 2013)

    PBT Projek Unit
    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen U12, Shah Alam 104
    Sutera Damansara, Sg Buloh 236
    Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Kg Seri Temenggung 418
    Seksyen 5, Kota Puteri 198
    Majlis Perbandaran Klang (MPK) Jalan Md Sidin 210
    Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Antara Gapi 129
    Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Pusat Rehat & Rawat Ladang Air Manis 480
    Jumlah   1,775
    1. ii) Fasa 2 (2014 – 2021)
    PBT Projek Unit
    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen U10, Shah Alam 600
    Seksyen U12 850
    Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Kota Puteri 1,064
    Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) Selangor Science Park 2 840
    Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Antara Gapi 1,227
    Bernam Jaya 5,000
    Jumlah   9,581
  3. Apakah syarat-syarat kelayakan dalam permohonan rumah mampu milik?

    Syarat-syarat kelayakan bagi permohonan Rumah Mampu Milik mestilah mematuhi kriteria-kriteria seperti berikut:

    • i) Warganegara Malaysia;
    • ii) Berumur 18 tahun ke atas;
      • Pendapatan isi rumah di antara RM2,500.00 hingga RM5,000.00 sebulan;
    • Belum memiliki sebarang jenis rumah di Negeri Selangor. Pemohon yang telah memiliki rumah kos rendah selama lima (5) tahun ke atas boleh memohon rumah mampu milik sebagai rumah kedua tetapi tertakluk kepada syarat had kelayakan pendapatan pemohon;
    • Pembelian rumah untuk didiami dan bukan untuk disewa; dan
    • Hartanah ini hanya boleh dipindahmilik setelah 5 tahun dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.