Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

11) MENARA TINJAU

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap (penjagaan) Taman Rimba Ampang yang tidak diselenggarakan dengan baik?

    Penyerahan secara rasmi Taman Rimba Ampang kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah dibuat pada 1 Mei 2013. Selepas penyerahan tersebut, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bertanggungjawab atas penyelenggaraan dan pengurusan Taman Rimba Ampang.Ianya bukanlah tidak diselenggara dengan baik, tetapi kerosakan kemudahan yang ada adalah disebabkan insiden banjir lumpur akibat dari kejadian hujan yang luar biasa dan tanah runtuh pada tahun 2012.

  2. Adakah kerajaan bercadang untuk menaik taraf taman tersebut?

    Jabatan sentiasa berusaha untuk meningkatkan serta menaiktaraf terhadap kemudahan yang sedia ada. Namun begitu, ianya perlu dilaksanakan secara terancang bagi memastikan keindahan semulajadi tidak terjejas. Pada masa ini, tumpuan diberikan terhadap pembaikan kerosakan kemudahan yang sedia ada. Jabatan juga telah membuat permohonan melalui Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan (MOTOUR) sebanyak RM1.075 juta bagi tahun 2014 dan 2015.

  3. Bilakah Menara Tinjau akan dibuka semula dan apakah langkah-langkah keselamatan yang diambil terhadap bangunan yang di ketagorikan tidak selamat itu?

    Kerajaan Negeri telah selesai menjalankan kajian cerun yang dibuat oleh pihak yang dilantik iaitu Kumpulan IKRAM Sdn. Bhd (IKRAM). Kajian ini adalah penilaian terhadap status kestabilan cerun dan tanah. Melalui keputusan pihak IKRAM, mereka mendapati hampir keseluruhan kawasan Menara Tinjau adalah tidak selamat untuk sebarang aktiviti dijalankan kerana struktur tanah yang tidak selamat.

    Kajian IKRAM ini telah dijalankan melalui 2 Fasa iaitu Fasa pertama dijalankan bermula pada pertengahan November 2012 sehingga awal Februari 2013. Kerjakerja Fasa 1 ini meliputi Kerja Lapangan dan Kajian Geoteknikal. Fasa 2 pula telah berjalan pada pertengahan Februari 2013 sehingga selesai pada April 2013. Kerja-kerja Fasa 2 ini melibatkan Kerja-kerja Merekabentuk Terperinci & Penyediaan Dokumen Tender. Kajian pihak IKRAM mendapati kawasan tersebut tidak selamat untuk digunakan bagi sebarang aktiviti akibat terdapatnya pergerakan tanah di hampir seluruh kawasan tersebut termasuk Menara Tinjau.

    Buat masa ini, semua aktiviti perniagaan telah ditutup dan sementara kes mahkamah berjalan, pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah diarah untuk menjaga kawalan keselamatan di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.