Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
367) KEKERAPAN BERLAKU GANGGUAN AIR DI DUN SEMENYIH
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah punca-punca kekerapan berlaku gangguan bekalan air?
Berdasarkan aduan yang selalu diterima oleh pihak SYABAS, kawasan di dalam DUN Semenyih yang kerap mengalami gangguan bekalan air adalah Taman Bukit Semenyih dan Kampung Indah PKNS Semenyih.
Jika dilihat kepada pelan skematik sistem agihan bekalan air, kawasan ini rata-ratanya mendapat bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih. Berdasarkan laporan pengeluaran LRA Sungai Semenyih, purata pengeluaran loji adalah sebanyak 670 Juta Liter Sehari yang mana jumlah tersebut adalah melebihi 23% daripada kapasiti yang telah direka bentuk iaitu 545 Juta Liter Sehari. Dengan angka ini, sebarang usaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran di LRA Sungai Semenyih adalah mustahil kerana akan memberi kesan negatif kepada peralatan pengepaman di loji.
Setelah air mentah siap dirawat dan diproses menjadi air terawat, air tersebut akan disalurkan ke Kolam Imbangan dan seterusnya ke Kolam Air Terminal Bangi untuk diagihkan kepada pengguna. SYABAS melaporkan paras Kolam Air Terminal Bangi sering berada dalam keadaan yang rendah dan tidak stabil akibat daripada permintaan bekalan air yang tinggi dari kawasan sekitar. Permintaan bekalan air yang semakin meningkat menyukarkan SYABAS untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan sekitar.
Kerajaan Negeri Selangor maklum bahawa masalah gangguan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan prolitik serta imej kerajaan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri
Selangor sentiasa berusaha untuk memastikan masalah gangguan ini dapat diatasi dan dikurangkan.
Oleh yang demikian, sekiranya penstrukturan industri air berjaya dimuktamadkan, SPV milik Kerajaan Negeri iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menjadi operator perkhidmatan air yang baru. Pemantauan dan kawalan secara langsung akan diberikan dalam usaha untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada pengguna seterusnya mengurangkan masalah gangguan bekalan air. Dalam masa yang sama, perancangan untuk meningkatkan rezab bekalan air pada kadar 10% akan dibuat dengan teliti. Antara perkara utama yang perlu menjadi keutamaan adalah usaha untuk mengurangkan kadar non revenue water (NRW) supaya air terawat yang diagihkan akan sampai terus kepada pengguna tanpa pembaziran.
-
Bagaimanakah cara-cara untuk menangani masalah kekerapan gangguan bekalan air?
Sama seperti di SUB (a)
-
Adakah perbelanjaan modal (capital expenditure) dalam projek penggantian paip lama daripada simen asbestos (AC) yang menyebabkan kebocoran dan pecah masih dibekukan oleh Kerajaan Negeri?
SYABAS sebagai operator agihan tunggal di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendakwa perbelanjaan modal (capital expenditure) yang dibekukan oleh Kerajaan Negeri telah menyebabkan projek penggantian paip lama daripada simen asbestos (AC) tidak dapat dilaksanakan dengan menyeluruh sekaligus mendorong kepada kes kebocoran dan paip pecah. Secara tidak langsung, kadar non revenue water (NRW) di Negeri Selangor masih mencatatkan bacaan yang tinggi iaitu pada tahap 34%.
SYABAS dilaporkan memberi penekanan terhadap projek infrastruktur seperti kerja-kerja pengantian paip-paip air dan penukaran meter sebagai usaha untuk menurunkan kadar NRW. Namun, semakan yang dibuat ke atas perbelanjaan CAPEX mendapati perbelanjaan modal (CAPEX) untuk kerja-kerja NRW adalah merupakan komponen perbelanjaan terbesar yang dibelanjakan oleh SYABAS, namun hasilnya adalah tidak setanding perbelanjaan yang telah dibelanjakan.
Ini membuktikan bahawa walaupun SYABAS telah diberikan peruntukkan yang jauh melebihi amaun yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, namun SYABAS masih gagal untuk menurunkan NRW kepada kadar yang sepatutnya. Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas. Kapasiti 663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.