Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
250) PROSPEK EKONOMI NEGERI 2015
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah prospek ekonomi Selangor tahun 2015?
Bagi tahun 2015, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Selangor diunjurkan tumbuh 5.5% kepada RM208,881 juta. Nilai ditambah sektor pembuatan diunjurkan tumbuh 5.6% manakala nilai ditambah sektor perkhidmatan diunjurkan tumbuh 5.4%. Sektor pembinaan diunjurkan tumbuh 11.2%. Sementara itu nilai ditambah sektor pertanian diunjurkan tumbuh 1.6%.
-
Apakah strategi untuk meningkatkan prestasi ekonomi negeri?
Kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan perancangan dan strategi ke arah peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor. Selaras dengan itu, fokus perancangan ekonomi akan dilaksanakan berdasarkan konsep Ekonomi Peduli Rakyat. Berdasarkan konsep ini, Kerajaan akan terus berusaha merangka strategi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi membantu rakyat menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar. Kerajaan Negeri telah menggariskan inisiatif-inisiatif seperti berikut :
- Melindungi hak rakyat Selangor untuk mendapatkan air bersih pada harga yang berpatutan menerusi penstrukturan semula industri air;
- Dasar Perumahan Mampu Milik
Kerajaan akan memanfaatkan rizab Negeri Selangor untuk penyediaan perumahan berkualiti dan mampu milik. Perumahan mampu milik adalah isu strategik kerajaan yang berhadapan dengan permintaan perumahan mampu milik yang tinggi di Negeri Selangor. Penyediaan rumah mampu milik ini juga seiring dengan perancangan Kerajaan ke arah menyediakan sebuah persekitaran yang kondusif sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat. Bagi pelaksanaan strategi ini, kerajaan akan memanfaatkan sumber tanah negeri untuk membina kemudahan perumahan dengan harga yang lebih rendah daripada Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Harga yang lebih rendah dapat ditawarkan kepada rakyat melalui strategi pengurangan kos harga tanah dan Industrialised Building System (IBS) yang menjimatkan kos dan masa pembinaan rumah.
- Dasar Keusahawanan dan Inovasi bagi memberikan peluang kepada rakyat menambahbaik taraf kehidupan melalui penubuhan dana khas serta penyediaan kemudahan latihan dan pendidikan keusahawanan yang kondusif;
- Penyediaan kemudahan pengangkutan awam percuma serta mesra pengguna dan pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu;
- Memperkasa Pendidikan Rakyat Selangor
Pendidikan merupakan salah satu elemen penting dalam memacu ekonomi Negeri Selangor bagi memastikan kelangsungan terhadap modal insan berkualiti tinggi dan berdaya saing untuk memenuhi kehendak dan pasaran industri dan perkhidmatan.
Universiti Selangor (UNISEL) akan terus diperkasakan sebagai sebuah institusi pendidikan terulung Negeri Selangor. Kerajaan akan menggunakan keuntungan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri untuk disalurkan kepada UNISEL bagi pembangunan pendidikan berkualiti ke arah matlamat sebagai sebuah institusi pendidikan terbaik di Malaysia.
Selain itu, adalah menjadi hasrat kerajaan bagi Kerajaan akan terus meningkatkan program-program yang mengangkat darjat dan martabat rakyat negeri Selangor. Salah satu yang akan difokuskan oleh kerajaan ialah merapatkan kesenjangan ekonomi antara kaya dan miskin. Perancangan ke arah itu memerlukan strategi untuk mengembangkan kebolehan rakyat dari segi pengeluaran, penciptaan dan produktiviti. Rakyat yang berkembang kebolehannya akan menjadikan Selangor sebagai negeri yang produktif, mengeluarkan barangan perkhidmatan termasuk produk intelektual dan kebudayaan sekaligus meningkatkan pendapatan dan status ekonomi rakyat. Kerajaan Negeri akan merangka strategi Ekonomi Peduli Rakyat berdasarkan teori yang dinyatakan Thomas Piketty di dalam bukunya yang bertajuk Capital In The 21st Century yang menyebut kepentingan dan keperluan membina ekonomi yang lebih seimbang dengan pekerjaan lebih berkualiti dan pertumbuhan yang sekata dalam setiap sektor. Ke arah matlamat tersebut, usaha-usaha berikut akan dilaksanakan :
- Memperkasa sektor pertanian
Sektor pertanian merupakan salah satu sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Selangor. Pada tahun 2013, sektor pertanian menyumbangkan 1.7% kepada KDNK negeri Selangor.
Pada tahun 2014 pula, dianggarkan nilai ditambah sektor pertanian negeri ialah RM2,923 juta iaitu menyumbang 1.5% kepada KDNK negeri (RM197,949 juta).
Walaupun nilai sektor ini adalah sedikit berbanding sektor lain, namun peranannya tidak dapat dinafikan memandangkan sektor pertanian turut menyumbangkan peluang pekerjaan terutama kepada penduduk luar bandar.
Sehubungan itu, kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan industri pertanian terutama kepada dua daerah utama negeri Selangor iaitu Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor ke arah industri berasakan pertanian. Penggunaan teknologi baru dan inovasi pertanian dipergiatkan bagi pengeluaran hasil pertanian secara besar-besaran. Peningkatan sektor pertanian secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan luar bandar.
- Kemapanan sektor ekonomi terutama sektor perindustrian dan perdagangan
Sektor perindustrian merupakan penyumbang utama terhadap kerancakan ekonomi negeri malah ia merupakan nadi ekonomi negara. Sehubungan itu, adalah menjadi strategi kerajaan negeri untuk melonjakkan negeri Selangor sebagai negeri perindustrian dan perdagangan. Untuk makluman, Negeri Selangor mempunyai sektor pembuatan seperti elektronik, bahan kimia dan kenderaan automotif yang terbesar di Malaysia seperti kereta Proton dan Perodua. Kilang-kilang kereta import juga banyak beroperasi di negeri ini seperti Toyota, Nissan, Volkswagen dan banyak lagi. Selain itu, banyak juga kilang-kilang dari luar negara yang bertapak di negeri yang antaranya adalah kilang Panasonic dari Jepun, Procter & Gamble dari Amerika Syarikat dan lain-lain. Manakala antara kawasan perindustrian yang terkenal ialah di Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Kajang, Rawang dan Petaling Jaya.
- Peningkatan kualiti hidup dan pembasmian kemiskinan
Peningkatan kualiti hidup rakyat merupakan agenda utama kerajaan negeri bagi membolehkan Selangor menuju ke arah kemodenan dan kemajuan yang mapan. Sehubungan itu, harapan ini direalisasikan dengan memenuhi keperluan kehidupan asasi rakyat melalui kemajuan taraf pendidikan, keamanan yang berterusan, hak untuk memiliki harta dan jaminan generasi masa depan yang cemerlang.
- vi) Pengurusan Perbandaran dan Alam Sekitar
Pengurusan perbandaran yang teratur mencerminkan kualiti hidup yang sihat. Oleh itu, penyediaan kemudahan awam yang sempurna serta kawasan perbandaran yang bersih dan indah menjadi strategi kerajaan negeri sejajar dengan peredaran semasa. Dalam memastikan kecemerlangan ini diteruskan pada masa-masa akan datang, kerajaan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa memastikan aspek asas perbandaran diberi perhatian yang serius.
Perancangan dan pengurusan alam sekitar secara mampan akan diberi penekanan di setiap PBT bagi mengelakkan bencana alam dan kesan pembangunan kepada alam sekitar daripada berlaku dan memberi kesan kepada rakyat.
- iv) Pembangunan Desa
Pembangunan Desa bukan merupakan satu projek yang boleh dilihat secara sendiri. Kerajaan Negeri ingin mengutarakan matlamat untuk menjalankan pembangunan desa secara holistik ini dengan kaedah mengambil kira soal pandangan dari kumpulan pelaksana, kerjasama daripada pembuat dasar dan juga agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah. Pada masa yang sama, matlamat utama yang ingin diutarakan oleh Kerajaan Negeri ialah untuk mengurangkan jurang pendapatan serta menanam nilai keempunyaan projek tersebut dalam diri masyarakat kampung. Pada masa ini, kaedah yang dilaksanakan dalam membantu membangunkan masyarakat kampung ialah dengan memberi insentif dan bantuan. Kerajaan Negeri ingin mengubah konsep ini kea rah satu konsep yang menyeluruh dan holistik bagi memastikan pembangunan kampung setanding dengan pembangunan di kawasan bandar.
Konsep ekonomi Peduli Rakyat yang digariskan seperti di atas merupakan antara usaha Kerajaan Negeri yang bertujuan merapatkan kesenjangan antara kaya dan miskin.