Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
246) TEKNOLOGI PERUSAHAAN PRODUK HALAL
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah peranan kerajaan negeri dalam membangunkan teknologi perusahaan produk halal?
Bagi memastikan sektor halal di negeri Selangor berjalan dengan lebih sistematik, komprehensif dan bersifat holistik, satu pendekatan baharu telah diwujudkan melalui penubuhan Halal International Selangor (HIS). HIS akan mengkoordinasi dan melaksanakan projek-projek berkaitan industri halal berdasarkan 10 program teras yang telah dikenalpasti sebagai mempunyai nilai komersil dan memberi kesan yang positif kepada sosio-ekonomi rakyat Negeri Selangor khususnya dan negara amnya.
Program teras yang khusus kepada pembangunan teknologi perusahaan produk halal adalah Program Pembangunan Kapasiti dan Program Pembangunan Industri. Salah satu projek yang telah diluluskan adalah projek kluster Bio-IT yang akan membangunkan produk melalui penggunaan teknologi dan inovasi, dengan peruntukan khusus melalui portfolio Sains Teknologi & Inovasi.
-
Apakah usaha kerajaan negeri untuk membantu memasarkan perusahaan produk halal?
Kerajaan Negeri bakal merancakkan lagi pasaran industri halal dengan menyediakan peluang bagi produk halal menembusi pasaran
Selaras dengan arus globalisasi, Halal International Selangor (HIS) memperkenalan konsep “Halal Digital Economy”, sebagai satu pelantar pemasaran produk halal era baru.
Konsep digital ini disasarkan akan dapat membantu pengusaha produk halal memasarkan produk menggunakan kaedah yang sejajar dengan aliran/trend abad ke-21, di mana pembelian produk secara terus dan on-line semakin mendapat tempat di hati pelanggan, baik secara “business-to-business (B2B), mahupun “business –to-consumer” (B2C). Selain dapat berinteraksi secara terus dengan pelanggan, pengusaha produk halal dapat menembusi pasaran produk global, dengan sokongan penjenamaan Halal International Selangor (HIS) yang menggandingkan ciri-ciri patuh-Syariah (Syariah-compliance) bagi memastikan integriti produk halal yang dipasarkan kekal terpelihara.
Selaras dengan matlamat ini juga, usaha untuk meningkatkan kecekapan serta memantapkan proses pensijilan halal turut diusahakan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), bagi memastikan lebih ramai pengusaha, terutamanya dari golongan IKS mendapat peluang untuk memperolehi produk berstatus halal.