Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

222) MANFAAT CARUMAN TAKAFUL BERNILAI RM2500

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik bilangan warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim yang telah menerima manfaat ini dari tahun 2008 hingga 2014

    Sehingga 31hb Oktober 2014, sejumlah 231,941 orang Warga Emas telah berjaya didaftarkan ke dalam Skim Mesra Usia Emas. Sejumlah 5,000 orang kelainan upaya juga telah berjaya didaftarkan ke dalam skim ini. Sementara anak-anak yatim pula tidak termasuk ke dalam golongan yang layak untuk didaftarkan ke dalam skim ini.

  2. Apakah mekanisme kerajaan untuk memastikan seluruh rakyat Negeri Selangor yang layak menerima caruman ini?

    1. Kerajaan negeri telah berusaha untuk memastikan setiap rakyat Negeri Selangor yang layak dapat didaftarkan ke dalam skim ini. Pelbagai saluran telah digunakan bagi tujuan tersebut.

     

    Selain pelbagai program taklimat, penerangan, pameran dan pendaftaran yang telah dilaksanakan oleh agensi yang berkaitan, Pejabat Daerah/Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah turut memainkan peranan mempromosikan program-program MES. Bukan sahaja PDT dan PBT turut menyediakan ruang dan booth pameran serta pendaftaran khusus berkaitan program-program MES, malahan rakyat juga boleh membuat pendaftaran di sana.

     

    Peranan semua Penghulu, Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ahli-ahli Majlis juga tidak kurang pentingnya dalam membantu menyampaikan maklumat yang berkaitan. Ahli-ahli Dewan Negeri juga senantiasa dari semasa ke semasa secara berterusan akan turut serta membantu menyampaikan maklumat berkaitan di kawasan masing-masing dalam setiap ruang dan peluang yang ada.

     

    Dalam masa yang sama, radio dan TV Web Selangor senantiasa digunakan sepenuhnya untuk mewar-warkan program MES dan menyampaikan maklumat terkini dan berkaitan. Malahan, saluran radio swasta juga turut digunakan bagi menyampaikan maklumat seperti iklan program-program MES dalam Sinar FM pada waktu puncak iaitu pada sebelah pagi dan petang bilamana ramai pendengar

     

    akan disalurkan maklumat yang berkaitan secara berulang-ulang sepanjang perjalanan mereka ke tempat kerja dan pulang ke rumah.

     

    Maklumat serta aktiviti berkaitan program MES juga disampaikan secara tetap melalui akhbar SelangorKini, Portal Merakyatkan Ekonomi Selangor, protal-portal rasmi kerajaan dan agensinya serta edaran-edaran kerajaan yang lain dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaiannya.

     

    Tindakan proaktif juga telah dilakukan oleh agensi yang berkaitan dengan melakukan lawatan dan turun padang. Kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan termasuk persatuan penduduk, rumah-rumah kebajikan dan rumah-rumah ibadat juga sering dilakukan bagi memastikan rakyat di lokaliti-lokaliti sasaran mendapat maklumat dan boleh didaftarkan jika sekiranya mereka layak dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

     

    Lawatan ke rumah orang tua-tua sebagai contoh, telah banyak memudahkan urusan mereka yang layak untuk mendaftar sebagai ahli skim ini. Begitu juga lawatan ke pusat-pusat jagaan orang-orang kelainan upaya juga telah banyak membantu memudahkan urusan pendaftaran dilakukan dengan sebaiknya. Dengan cara ini, kekangan yang mereka hadapi seperti kesukaran untuk bergerak dan masalah-masalah logistik lain untuk berurusan dengan pusat-pusat pendaftaran telah sedikit sebanyak dapat diatasi dan dipermudahkan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.