Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
112) NAIK TARAF BUKIT BROGA SEBAGAI TEMPAT PELANCONGAN
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah pihak Kerajaan Negeri bercadang untuk menaiktaraf Bukit Broga sebagai sebuah tempat pelancongan di Selangor?
Kerajaan Negeri dari masa ke semasa sentiasa merancang dan mengambil inisiatif untuk menaik taraf kawasan-kawasan yang sesuai sebagai tempat pelancongan di Negeri Selangor. Dalam konteks Bukit Broga, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah mempromosikan kawasan ini sebagai sebuah tempat pelancongan di dalam laman web rasmi, media-media sosial dan pelbagai saluran media lain. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pula telah menjadikan kawasan ini sebagai produk pelancongan Hulu Langat dan turut dimasukkan di dalam laman web rasmi MPKj. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui MPKj juga bercadang untuk menaik taraf kemudahan makluman dengan memasang papan tanda arah dan papan makluman yang berkaitan di Bukit Broga pada masa akan datang.
-
Apakah syarat-syarat untuk menaiktaraf sesebuah tempat tersebut sebagai tempat pelancongan di Selangor?
Sesuatu kawasan boleh dinaiktarafkan sebagai kawasan pelancongan sekiranya memenuhi syarat dan keperluan yang ditetapkan dalam Akta 482, Akta Industri Pelancongan 1992. Pada masa yang sama, terdapat beberapa akta-akta dan peraturan lain berkaitan yang perlu dipatuhi iaitu:
- Akta Industri Pelancongan 1992;
- Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992;
- Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Pemandu Pelancong) 1992;
- Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan Institusi Latihan Pelancongan) 1994;
- Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Mengkompaun Kesalahan- Kesalahan) 1992;
- Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999; dan
- Peraturan-Peraturan Kenderaan Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Kenderaan Pelancongan)
Sebelum Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk menaik taraf sesuatu produk pelancongan, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan bersama Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) akan memastikan produk pelancongan memenuhi beberapa faktor dan kriteria sebelum menaik taraf sesebuah tempat menjadi produk pelancongan. Kriteria utama adalah sesuatu tempat produk pelancongan itu hendaklah dimasukkan di dalam kalendar dan senarai pelancongan negeri dan menjadi salah satu tempat pelancongan yang dipromosikan oleh TSSB sebagai sebuah badan pelancongan negeri yang bertanggungjawab untuk mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri Selangor. Selain dari itu, beberapa faktor dan kriteria yang diambil kira adalah seperti berikut:
- Kemudahan Infrastruktur
Kemudahan Infrastruktur asas perlu disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan juga para pengusaha.
- Kemudahan Jalan dan Akses
Kemudahan jalan dan akses yang baik adalah perlu untuk kemudahan pelancong dan juga peniaga untuk ke tempat pelancongan yang ingin dibangunkan.
- Nilai Komersial
Nilai komersial sesuatu tempat dapat menggambarkan “x-factor” dan keunikan yang ada pada sesuatu tempat yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke tempat pelancongan tersebut.
- Promosi
Kaedah promosi yang dijalankan antaranya Sesi Pelancaran, Laman Web Rasmi, Laman Media Sosial, dan hebahan melalui media cetak. Selain itu, pihak pengusaha perlu menyediakan pakej dan bahan promosi yang menarik untuk memberi peluang pengunjung menikmati kelebihan yang diberikan.