Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
73) KESAN GOODS & SERVICES TAX (GST)
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan negeri dalam menghadapi tahun 2015 apabila dilaksanakan GST, khususnya bagi rakyat yang menjadi pengguna?
Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebuah kerajaan yang sangat peduli rakyat sesungguhnya sangat merasa terkesan hasil daripada pengenaan sistem percukaian GST kelak. Anggaran Perbelanjaan 2015 sebanyak RM2.422 bilion akan dimanfaatkan sebaiknya bagi mengurangkan kesan kenaikan harga akibat pengenaan cukai tersebut.
Dalam mendepani pengenaan GST, Kerajaan Negeri telah merangka dasar fiskal dengan cara meningkatkan hasil negeri dan membelanjakan hasil tersebut untuk kebajikan ekonomi rakyat. Terjemahan perbelanjaan ini dinyatakan dalam bentuk berbagai program, antaranya pendidikan, sosio-ekonomi dan keusahawanan seperti yang terdapat dalam belanjawan 2015.
-
Jelaskan di mana dalam Belanjawan 2015 diperuntukkan wang bagi meredakan kesan GST?
Dalam belanjawan yang dicadangkan ini, Kerajaan Negeri bersedia meneruskan beberapa program yang memberi impak kepada rakyat selain mengadakan program-program baru yang dapat meringankan beban rakyat. Beberapa program dan inisiatif baru yang terdapat dalam belanjawan 2015 ialah:-
- Tabung Biasiswa Selangorku sebanyak RM10 juta
- Program Bantuan Sara Diri Anak Selangor berjumlah RM12 juta
- Peruntukan Biasiswa sebanyak RM5 juta untuk pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang strategik dan
- Mewujudkan 10 biasiswa Sagong Tasi untuk anak-anak Orang
- Peruntukkan RM3 juta di bawah sektor pengangkutan untuk mengadakan perkhidmatan awam percuma di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan terpilih; dan
- Peruntukkan RM10 juta untuk sektor pelaburan dan perniagaan bagi membolehkan rakyat yang terlibat memasarkan produk dan membina rangkaian pemasaran ke peringkat nasional dan
Kerajaan Negeri juga memutuskan beberapa program dan inisiatif sedia ada dikekalkan dan ada juga yang diperkukuhkan dengan penambahan peruntukkan, antaranya:-
- Hadiah Anak Masuk Universiti diperuntukkan RM8 juta
- Kemudahan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah sebanyak RM16 juta setahun.
- Pemberian air percuma diperuntukkan RM165 juta
- Skim Tunas sebanyak RM4 juta setahun, meningkat dari RM3 juta pada tahun 2014.
- Program Pembasmian Kemiskinan sebanyak RM9.368 juta
- Program Kemahiran Teknikal diperuntukkan RM4 juta, meningkat 100 peratus berbanding tahun
- Program Kerajaan Prihatin kekal dengan peruntukkan RM1 juta
- Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang kekal sebanyak RM1 juta setahun.
- Program Pembangunan Ekonomi Nelayan, Petani dan Penternak meningkat dari RM2.6 juta kepada RM 3.2 juta
- Pelbagai program di bawah Jabatan Pertanian sebanyak RM14.47 juta setahun, berbanding RM10 juta tahun
- Pelbagai program di bawah Jabatan Veterinar berjumlah RM7.7 juta setahun.
- Perkhidmatan Masyarakat kelolaan Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri dan Yang Berhormat Ahli Parlimen yang ditingkatkan kepada RM51.9 juta setahun.
- Skim Mesra Usia Emas berjumlah RM25 juta
- Skim Kesihatan Wanita sebanyak RM1 juta
- Sektor Keusahawanan berjumlah RM3.4 juta setahun; dan
- Perumahan Rakyat dan Kehidupan Bandar sebanyak RM21.88 juta setahun.
Semua peruntukkan di atas yang diterjemah dalam bentuk program berjumlah RM 376.9 juta, sesungguhnya akan dapat dinikmati oleh rakyat pelbagai lapisan yang terkesan dari perlaksanaan GST.
Selain dari itu, Kerajaan Negeri akan mengamalkan penjimatan dalam perbelanjaan operasi terutamanya dalam aktiviti – aktiviti yang berkaitan dengan perkhidmatan dan bekalan. Di samping usaha – usaha tersebut, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan dasar perolehan yang menekankan kepada value for money yang turut memberi impak kepada usaha – usaha penjimatan tanpa menjejaskan kualiti pembangunan yang dilaksanakan.