Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

54) PUSAT TEATER SHAH ALAM

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah perkembangan terkini pusat tersebut ?

    Melalui cabutan Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertarikh 23 Julai 2014 kertas EXCO-MTES No.6/22/2014 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 29/2014 pada 6 Ogos 2014 telah menimbang   dan bersetuju untuk menyerahkan pengurusan Teater Shah Alam kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).Sehubungan itu, pihak PADAT akan menyelaraskan operasi dan pengisian aktiviti penggunaanTeater Shah Alam.

    Di pihak Majlis pula proses penyerahan akan dilakukan kepada pihak PADAT pada bulan Mac 2015 setelah program terakhir yang telah dijadualkan lebih awal selesai dilaksanakan. Selepas tarikh tersebut, pihak PADAT akan mengambilalih pengurusan keseluruhan bangunan tersebut.

  2. Sila nyatakan bagaimanakah Pusat Teater Shah Alam ini dapat menyumbangkan kepada kesenian dan kebudayaan Negeri Selangor ?

    Di Negeri Selangor masih belum ada lokasi khas bagi penggiat seni dan budaya khususnya penggiat seni teater untuk mempamerkan karya-karya mereka. Golongan ini terpaksa mencari fasiliti dan platform di tempat lain khususnya di sekitar Lembah Klang.

    Dengan adanya Teater Shah Alam, ianya memberikan satu kemudahan yang amat dinanti-nantikan bukan sahaja kepada penggiat teater tetapi juga kepada penggiat seni dan budaya di Negeri Selangor untuk mengadakan aktiviti dan program berkaitan.

    Teater Shah Alam akan menjadi lokasi tumpuan penggiat seni dan kebudayaan bukan sahaja di Negeri Selangor malahan diharap dapat menarik penggiat seni dari seluruh Negara.

     

  3. Sila nyatakan apakah perancangan membina Pusat Teater Shah Alam ini menepati prinsip value for money?

    Pembinaan Teater Shah Alam ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan fasiliti yang lengkap dan bersesuaian untuk memperkasakan aktiviti seni dan budaya di Negeri Selangor kerana kecemerlangan dan ketamadunan sesebuah Negara bangsa bukan sahaja diukur dari segi pembangunan, kemakmuran dan kepesatan ekonomi sahaja tetap dilihat dari segi perkembangan aktiviti seni dan budaya.

    Sehubungan itu, Teater Shah Alam ini merupakan lambang kepada kemajuan dan ketamadunan Negeri Selangor iaitu Negeri yang termaju di Malaysia. Bangunan Teater Shah Alam ini juga dibina sebagai satu fasiliti yang lengkap bagi penggiat seni untuk mempersembahkan idea kreatif dan nilai-nilai seni dan budaya untuk dikongsi dan ditatap oleh komuniti

    Selain daripada aktiviti seni dan budaya, Teater Shah Alam juga dibuka untuk aktiviti dan program yang mempunyai nilai-nilai komersial sejajar dengan prinsip value for money.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.