Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014
101) TAMAN REKREASI AIR TERJUN
Tahun: 2014
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan Taman Rekreasi Air Terjun di Selangor mengikut DUN dan daerah?
Berikut adalah senarai hutan lipur atau taman rekreasi yang terdapat di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor mengikut DUN dan Daerah:
BIL HUTAN LIPUR DUN DAERAH PENGURUSAN 1. Air Terjun Sungai Gabai Dusun Tua Hulu Langat Majlis Perbandaran Kajang 2. Hutan Lipur Gunung Nuang Dusun Tua Hulu Langat Jab. Perhutanan Negeri Selangor 3. Hutan Lipur Kanching Taman Templer Gombak Tourism Selangor Sdn. Bhd. 4. Hutan Lipur Sungai Congkak Dusun Tua Hulu Langat Tourism Selangor Sdn. Bhd. 5. Hutan Lipur Sungai Sendat Batang Kali Hulu Selangor Jab. Perhutanan Negeri Selangor 6. Hutan Lipur Sungai Tekala Semenyeh Hulu Langat Jab. Perhutanan Negeri Selangor 7. Hutan Lipur Sungai Tua Batu Caves Gombak Jab. Perhutanan Negeri Selangor 8. Taman Rimba Ampang Lembah Jaya Hulu Langat Jab. Perhutanan Negeri Selangor 9. Taman Rimba Komanwel Taman Templer Gombak Jab. Perhutanan Negeri Selangor / Tourism Selangor Sdn. Bhd.
10. Taman Rimba Templer Taman Templer Gombak Majlis Perbandaran Selayang -
Bagaimanakah sumbangan produk taman rekreasi ini kepada pelancongan negeri?
Sumber semulajadi yang terdapat di hutan lipur dan taman rekreasi berupaya menarik minat masyarakat menikmati keindahan alam semulajadi seperti sungai, air terjun, puncak gunung, flora dan fauna serta alam sekitar yang bersih dan nyaman. Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan agensi-agensi lain yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan memajukan hutan lipur dan taman rekreasi ini bukan sahaja menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada masyarakat malah ia juga memberikan faedah yang tidak ternilai dalam aspek alam semulajadi. Para pengunjung khususnya yang tinggal di bandar akan menggunakan hutan lipur dan taman rekreasi ini untuk berehat, bersantai, beriadah, berkelah dan lain-lain aktiviti rekreasi sebagai salah satu tempat untuk mengurangkan tekanan
JPNS telah menyediakan kemudahan dan infrastruktur seperti kiosk, gerai makanan, chalet, tandas dan tempat letak kereta di hutan lipur dan taman rekreasi di bawah seliaan jabatan. Di samping itu, ia juga turut memberi peluang kepada pengusaha tempatan menjana pendapatan tambahan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat khususnya dalam sektor pelancongan negeri selaras dengan output dan outcome jabatan yang ditetapkan. Rekod bilangan pengunjung dan hasil kutipan daripada bayaran masuk dan sewaan pelbagai kemudahan di hutan lipur dan taman rekreasi di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor adalah seperti berikut:
BIL
TAHUN
BILANGAN PENGUNJUNG
KUTIPAN HASIL
1. 2011 558,880 RM 252,980.50 2. 2012 363,008 RM 218,863.60 3. 2013 600,624 RM 244,788.60 -
Apakah strategi kerajaan untuk meningkatkan kemudahan, keselamatan dan promosi produk rekreasi ini?
Kemudahan-kemudahan dan infrastruktur yang disediakan di hutan lipur dan taman rekreasi akan dinaiktaraf dan dibaikpulih mengikut keperluan dan peruntukan kewangan semasa. Kerajaan negeri telah emperuntukan sebanyak RM1,129,990.00 pada tahun 2014 bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan dan infrastruktur di hutan lipur dan taman rekreasi di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri
Aspek keselamatan pengunjung adalah menjadi keutamaan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang tidak boleh diambil mudah untuk mengurangkan kes-kes kemalangan di hutan lipur dan taman rekreasi. Pihak jabatan telah mengambil langkah dan tindakan seperti memasang papan tanda amaran, kawasan bahaya, kejadian kepala air dan lain-lain notis peringatan atau amaran demi untuk keselamatan pengunjung. Disamping itu juga pegawai dan kakitangan yang bertugas di hutan lipur dan taman rekreasi ini juga akan bertanggungjawab memantau keselamatan pengunjung.
Bagi tujuan promosi pula, tempat-tempat rekreasi ini disiarkan dalam laman web Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan juga melalui brosur dan risalah yang diedarkan kepada masyarakat umum semasa pameran atau program-program jabatan.