Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

99) PERUMAHAN TERBENGKALAI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Haji Zaidy Bin Haji Abdul Talib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah dan nama serta statistik perumahan terbengkalai dalam Negeri Selangor mengikut pecahan DUN dan daerah?

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah projek perumahan terbengkalai di Negeri Selangor sehingga 30 April 2014 adalah sebanyak 122 projek yang melibatkan 31,862 unit. Statistik projek perumahan terbengkalai mengikut pecahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti berikut:

     

    NO

    KAWAS AN PBT PROJEK PERUMAHAN PROJEK PEMBESARAN KAMPUNG JUMLAH PROJEK JUMLAH UNIT
    1 MBSA 11 11 3,407
    2 MBPJ 3 5 1,932
    3 MPSJ 4 4 1,585
    4 MPAJ 7 7 2,814
    5 MPK 27 27 3,510
    6 MPKJ 15 15 5,298
    7 MPS 10 2 12 2,299
    8 MPSp 7 7 2,265
    9 MDKS 8 2 10 3,691
    10 MDHS 8 5 13 4,590
    11 MDKL 13 13 471
    JUMLAH 113 9 122 31,862

     

     

    Senarai nama projek perumahan terbengkalai di Negeri Selangor mengikut Daerah adalah seperti dilampiran 1.

  2. Apakah status perumahan terbengkalai Flat Transit Kg.Bendahara?

    Untuk makluman Yang Berhormat, pemaju Delpuri Corporation Sdn. Bhd. telah dilantik oleh Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah penempatan setinggan/ peneroka bandar di Bukit Botak pada tahun 1996. Berikutan itu, beberapa operasi perobohan telah dijalankan oleh Pejabat Tanah/Daerah Gombak pada tahun 2003, 2004 dan 2005 dimana peneroka bandar di tapak asal telah dipindahkan dan ditempatkan sementara di Flat Transit Setinggan Bukit Botak yang dimajukan oleh Delpuri Corporation Sdn. Bhd. Sebanyak 4 blok yang dimajukan melibatkan 2 blok yang telah siap dibina dan diduduki oleh peneroka bandar. Manakala 2 blok lagi telah terbengkalai dan tidak boleh diduduki. Sehingga kini, pemaju Delpuri Corporation Sdn. Bhd telah gagal menyelesaikan masalah penempatan peneroka bandar sedangkan tanah berkenaan telah diberimilik oleh Kerajaan Negeri kepada pemaju untuk tujuan pembinaan Flat Transit ini. Ini adalah selaras dengan kelulusan MMKN pada 27 November 1996 berhubung pelantikan Delpuri Corporation Sdn. Bhd. yang menghendaki pemaju menyediakan rumah transit untuk penempatan peneroka bandar atau menyediakan bayaran subsidi sewa sebanyak RM300.00 sebulan. Namun, kedua-dua tindakan tersebut gagal dilaksanakan oleh pemaju bagi penyelesaian secara menyeluruh ke atas peneroka Bandar

     

    Berdasarkan semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mendapati pemaju Delpuri Corporation Sdn. Bhd. telah diletakkan di bawah Pegawai Penerima (Receivership) iaitu Tetuan Lim Tian Huat & Co. pada 27 Disember 2011. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk berkerjasama dengan Pegawai Penerima bagi menyelesaikan masalah ini.

     

  3. Apakah status perumahan terbengkalai bagi pembinaan rumah flat bagi setinggan tambahan bagi Bukit Botak?

    Untuk makluman Yang Berhormat, seramai 864 peneroka bandar / setinggan tambahan Bukit Botak telah ditawarkan rumah pangsa dengan mengambil kira status mereka yang menetap di Bukit Botak selepas daripada tahun 1985 dan juga sebagai generasi kedua. Sehubungan itu, pemaju Delpuri Corporation Sdn. Bhd telah dipertanggungjawabkan untuk membina sebanyak 938 unit rumah pangsa yang terdiri daripada 428 unit rumah pangsa kos rendah 5 tingkat dan 510 unit rumah pangsa kos sederhana rendah 5 tingkat atau dikenali dengan Apartment Selayang Kristal untuk ditawarkan kepada 864 peneroka

     

    Projek ini merupakan projek yang telah didaftarkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan no. lesen pemajuan: 8928-1/07- 2008/784 dan di bawah pemantauan KPKT. Pada tahun 2008, KPKT telah mengkategorikan projek ini sebagai projek sakit, walau bagaimanapun pada 18 Februari 2013, ia telah dikategorikan sebagai projek terbengkalai. Berdasarkan

     

    rekod di KPKT, kemajuan kerja di tapak untuk pangsapuri kos rendah adalah 39% siap manakala pangsapuri kos sederhana rendah adalah 60% siap. Sehingga kini, tiada kemajuan kerja atau usaha pemulihan dijalankan di tapak projek.

     

    Bagi menyelesaikan masalah projek tersebut, Kerajaan Negeri juga telah berkerjasama dengan KPKT supaya projek ini dapat dipulihkan melalui dana pemulihan daripada KPKT. Buat masa ini, KPKT telah menjalankan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) dan seterusnya melaksanakan tender terbuka kepada mana-mana kontraktor yang berminat memulihkan semula projek ini.

     

    Berdasarkan semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mendapati pemaju Delpuri Corporation Sdn. Bhd. telah diletakkan di bawah Pegawai Penerima (Receivership) iaitu Tetuan Lim Tian Huat & Co. pada 27 Disember 2011 oleh Mahkamah Tinggi melalui permohonan Ambank Berhad sebagai pemegang gadaian tanah ini. Pada masa yang sama juga, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk berkerjasama dengan Pegawai Penerima dan KPKT bagi memulihkan semula projek ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.